PERLAWANAN Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad menyaksikan Chelsea terpaksa berputih mata apabila diikat 1-1 Nottingham Forest dalam aksi yang berlangsung di Stamford Bridge, London.
Bagaimanapun, aksi yang cukup mengujakan itu secara tiba-tiba dicemari dengan insiden pergaduhan antara pemain tuan rumah dan pelawat selepas wisel masa penuh ditiupkan.
Penyerang skuad The Blues, Nicolas Jackson difahamkan bakal berdepan hukuman selepas satu rakaman video yang menunjukkan dia menampar pemain lawan tular di media sosial.
BACA LAGI: Tukar venue di ACLE patut jadi manual MFL elak kontroversi Perak-JDT berulang
BACA LAGI: Dion Cools tak dapat turun, ramai risau Chris Wood bermaharajalela ledak gawang Harimau Malaya
Menerusi video yang berdurasi lima saat itu, kelihatan bintang Chelsea berkenaan dikesan menampar bek tengah Forest, Murillo selepas kedua-dua mereka bertikam lidah.
Dalam video tersebut, turut kelihatan beberapa pihak pengurusan dan pemain cuba meleraikan pergaduhan tersebut dengan punca kekecohan masih belum dikenal pasti.
Bagaimanapun, pergaduhan tersebut dipercayai tercetus selepas pertahanan The Blues, Marc Cucurella dilihat ditolak pemain pasukan lawan, Neco Williams.
Ekoran daripada tindakan itu, Cucurella terjatuh dan mencetuskan reaksi marah daripada pemain Chelsea.
Cucurella dan Levi Colwill kemudiannya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Chris Kavanagh.
Susulan daripada kad kuning itu, Cucurella dijangka akan terlepas pertembungan bertemu Liverpool pada 20 Oktober nanti.
Dalam aksi tersebut, pasukan pelawat membuka jaringan menerusi Chris Wood pada minit ke-49 sebelum pemain sayap Chelsea, Noni Madueke menyamakan kedudukan 10 minit kemudian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram