[VIDEO] Tak kisah 'lambat panas', strategi pemain muda Penang Black Panthers semakin digeruni


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Sebahagian aksi menarik antara Penang Black Panthers dan KL Thunders dalam perlawanan separuh akhir GP Terengganu.

PENANG Black Panthers menunjukkan kesediaan untuk menghadapi cabaran dalam kumpulan maut saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Perak, yang akan bermula pada 9 Oktober ini.

Kelab dari Pulau Pinang tersebut diundi dalam Kumpulan D bersama juara GP Selangor dan GP Terengganu, Kuala Lumpur (KL) Thunder serta ATM Guardians.

Pengurusnya, Mohd Hasnul Hadi Abdul Rashid mendedahkan bahawa anak-anak buahnya agak sukar untuk konsisten pada set pertama dalam setiap perlawanan yang berlangsung sebelum ini.

BACA LAGI: STL 2024: Pemergian import Kelantan, perang mulut jurulatih antara 3 kejutan GP Terengganu

BACA LAGI: 'Berjaya tewaskan Shanghai Shenhua bermakna JDT sedia jadi pencabar', Jordi Amat waspada 'set piece', ketinggian lawan

"Bila tengok set pertama, Penang Black Panthers main memang agak hancur tapi kebanyakan perlawanan set kedua baru pemain nak mula 'panas'.

"Yang peliknya bukan awal set kedua namun penghujung set kedua baru pemain dapat rentak permainan dan meraih kemenangan.

"Tengok macam lawan dengan Perak Bison, Terengganu Turtles dan pasukan lain, di tengah-tengah set baru nak menang.

"Agak sukar sikit untuk kekal konsisten sebab Penang Black Panthers ni ramai pemain muda, jadi dia macam suam-suam sikit awal-awal ni," katanya kepada Majoriti.

Pada musim ini, Penang Black Panthers membuat perubahan drastik apabila tampil berani mengetengahkan beberapa pemain muda yang dijangka akan menjadi pelapis kelab tersebut.

Meskipun begitu, pasukan itu kini diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain senior, Komkrit Kaewkhamjan dan Zaim Razali yang dilihat mampu membantu mengawal permainan dengan baik.

"Kita masih ada Komrit dan Zaim yang boleh back up sebab mereka ni merupakan pemain yang berpengalaman," ujarnya.

Mohd Hasnol, 42, tetap menaruh harapan kepada pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XXI 2024, Ikhwan Syafiq Fitri dan Imran Fazli meskipun mereka masih muda.

WhatsApp Image 2024-10-02 at 18.53.23

Penang Black Panthers meraih tempat keempat GP Terengganu selepas tewas kepada PDRM Defenders.

"Walaupun masih muda dan tiada pengalaman namun Imran dan Ikhwan memiliki kelebihan kerana mereka berdua merupakan pemenang pingat emas bagi kontinjen Penang," ujarnya.

Di samping itu, Mohd Hasnol sempat berkongsikan kelemahan utama yang sering dilakukan oleh anak-anak buahnya dalam dua GP sebelum ini iaitu GP Selangor dan GP Terengganu.

"Apa yang saya lihat ketika ini, pemain kurang berkesan dari segi pertahanan tapi dari serangan saya tengok Penang Black Panthers tiada masalah sebab killer kita dari Thailand itu memang beraksi dengan sangat cemerlang walaupun dia cedera.

"Kiranya pemain kena memperbaiki kelemahan utama iaitu dari segi pertahanan dan banyakkan latihan untuk menghalang rejaman dan libasan lawan," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-10-02 at 18.53.23 (1)

Zaim Razali bergelar apit kirit terbaik bagi GP Terengganu.

Tambahnya lagi, dia turut meletak sasaran tinggi untuk pasukannya menjelang GP Perak nanti kerana dia yakin dengan keserasian yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya boleh membuahkan hasil.

"Kalau GP Selangor kita berjaya mara ke suku akhir, GP Terengganu pula kita ke separuh akhir dan Insya-ALLAH GP Perak ini kita akan ke final.

"Saya fikir peminat tak beri harapan sangat dekat Penang musim ini kerana kami banyak pemain muda yang berusia dalam lingkungan 20-an ke bawah. Kalau pemain senior hanya Zaim dan Komkrit saja.

"Pemain ketika ini sudah serasi walaupun majoritinya ramai pemain muda dan apa yang kita lihat dalam GP sebelum ini, mereka memang ada peningkatan yang baik.

"Harapan kami semoga GP Perak nanti Penang Black Panthers akan meraih kemenangan pertama kerana bukan mudah nak bawa pemain-pemain muda ini.

"Kami juga mahu tunjukkan kepada peminat sepak takraw di Malaysia bahawa ramai lagi pemain-pemain muda yang boleh meningkat naik selepas ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram