BARU-BARU ini, perlawanan antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi ditangguhkan akibat permukaan padang yang tidak memuaskan susulan hujan lebat sejak petang Sabtu (5 Oktober).
Sebelum ini, perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 17 Ogos lalu ditunda pihak Malaysia Football League (MFL) akibat hujan lebat serta permukaan padang yang tidak baik di Stadium Ipoh ketika itu.
Susulan penangguhan kali kedua itu, ramai penyokong The Bos Gaurus (TBG) tidak berpuas hati dengan keputusan badan pengelola bola sepak tanah air itu.
Malah, Perak FC mendakwa tidak diberikan peluang berbincang sebelum penangguhan perlawanan diputuskan.
BACA LAGI: Cipta nama di pentas AWCL, fans doa Sumandak Sabah tak kenal erti putus asa dikerjakan Wuhan Jiangda
Keadaan padang Stadium Ipoh yang tidak memuaskan akibat huja lebat.
Dalam pada itu, MFL dalam satu kenyataan menafikan dakwaan Perak yang tidak diberikan ruang untuk berbincang.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi, menjelaskan bahawa keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu dibuat berdasarkan Manual Liga Malaysia 2024-2025.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal komisioner perlawanan, penangguhan perlawanan yang dijadual jam 8:15 malam itu dibuat mengikut Peraturan 2.8.1, perlawanan yang dihentikan berikutan hujan lebat sehingga mengakibatkan padang tidak sesuai untuk digunakan.
"Perlawanan telah ditangguhkan oleh komisioner setelah menilai keadaan padang yang tidak sesuai untuk dimainkan, meskipun kedua-dua kelab telah diminta untuk menunggu selama 60 minit.
"Keputusan untuk menangguhkan perlawanan diambil berdasarkan penilaian terkini dan bukan hanya pada pemeriksaan awal yang dilakukan sebelum waktu perlawanan,"katanya.
Kenyatan daripada Perak FC yang mendakwa tidak diberi peluang berbincang untuk menangguhkan perlawanan.
Susulan penangguhan itu, ramai penyokong tanah air menyeru agar MFL belajar daripada keputusan yang diambil oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekiranya berlaku isu padang yang tidak memuaskan.
Menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) membabitkan Gwangju FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) pada 22 Oktober nanti, perlawanan tersebut bakal diadakan di venue yang berbeza kerana aksi ketiga Kumpulan A diletakkan pada status belum mendapat pengesahan (TBC).
Aksi sebelum ini dijadualkan akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Gwanju namun diubah ke Stadium Yongin Mireu atas sebab-sebab tertentu.
Begitupun, ramai peminat bola sepak Korea percaya bahawa pertukaran venue itu disebabkan keadaan padang Stadium Bola Sepak Gwangju yang teruk.
Keputusan AFC itu dipuji kerana peka dengan keadaan padang meskipun sepak mula bakal berlangsung tiga minggu lagi.
"Perbezaan ketaraa di antara pengurusan professional dan amatur kampung, memang layak Korea antara Top 10 di Asia, pengurusan amatur siap play victim seakan menyalahkan pihak lain," kata Zuolz Zain.
"Penilaian awal tak kalut, negara yang ingin maju akan buat keputusan yang baik," kata Zamri.
"Macam ini-lah bagus, sudah tahu padang cikai awal-awal sudah set tukar padang lain," kata Arta Nori. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram