Kami tak sekaya pasukan lain tapi cari duit sendiri dan tidak menadah sana sini — Bekas CEO The Bos Gaurus


  • Podium
  • Selasa, 08 Okt 2024

Bobie menegaskan terdapat perancangan untuk menambah baik padang di Stadium Perak. — Facebook/Perak FC

ISU pengurusan padang di Stadium Perak, Ipoh terus menjadi bahan bualan hangat susulan masalah itu menjadi punca aksi Liga Super antara skuad The Bos Gaurus (TBG) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) ditangguhkan.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu lalu itu terpaksa diadakan pada tarikh berbeza akibat keadaan padang tidak mengizinkan berpunca daripada sistem perparitan tidak terurus.

Masalah berkenaan terus menjadi bahan pertelingkahan antara kedua-dua pasukan apabila masing-masing berasakan skuad Harimau Selatan sebagai pelawat sengaja mengambil langkah tersebut tanpa memikirkan perasaan mereka yang hadir ke venue perlawanan.

BACA LAGI: 'Pakar bola sepak konon', Bobie Farid buktikan kata jurulatih misteri salah tentang Lucho

BACA LAGI: Ahmad Shahrul Azhar, bekas CEO antara 3 nama sesuai ganti Bobie teraju Perak FC

WhatsApp Image 2024-10-08 at 12.03.10 PM

Padang berlecak sebelum aksi Liga Super antara Perak FC dan JDT. Twitter/TMJ

Namun, penyokong JDT enggan berdiam diri apabila masing-masing menepis dakwaan itu sambil menegaskan pihak pengurusan Perak FC sepatutnya lebih cakna mengenai pengurusan padang berbanding melaburkan wang jutaan ringgit setiap musim demi menguatkan skuad.

Desakan itu kemudiannya menerima perhatian bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang menjelaskan kelabnya sudah mempunyai perancangan mengenainya.

Dalam satu hantaran di laman Facebook Ariesham, dia menegaskan kerja-kerja memperbaiki padang hanya boleh dibuat pada November berdasarkan tarikh geran yang ditetapkan.

"Ya, sudah ada peruntukan dari KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Kerajaan Negeri setuju malah ada naik taraf yang dilakukan Kerajaan Negeri seperti pagar keselamatan yang sudah pun siap.

"Kenapa buat bermula November? Kerana pada waktu geran ini diluluskan, kebanyakan aktiviti di stadium sudah ditempah awal oleh pelanggan-pelanggan stadium," katanya.

Hantaran itu dibuat berserta keratan akhbar bertarikh 5 Jun lalu yang menyatakan padang di 'rumah' kepada skuad TBG itu akan diubah bermula November seperti mana ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Perancangan berkenaan jelas berjalan lancar memandangkan aksi di antara Perak FC dan JDT pada Sabtu lalu sepatutnya menjadi aksi terakhir pasukan bimbingan Yusri Che Lah di venue tersebut sebelum berpindah ke Stadium Manjung, Perak.

Jelas Bobie lagi, Stadium Perak turut menjana pendapatan menerusi sewaan padang yang tidak berskala besar, namun masih dapat menyantuni permintaan pelanggan dari sekitar negeri terbabit.

2069252

Padang di Stadium Perak akan diubah dalam masa terdekat.

"Tempoh November hingga ke Julai 2025 (liga bermula) adalah difikirkan lebih baik untuk rumput jenis bermuda matang dan tidak membuat kesilapan yang sama seperti berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Macam saya cakap, antara stadium yang penjagaannya bagus di Malaysia adalah Stadium Perak. Ya, kami tak sekaya pasukan lain, tetapi kami cari duit sendiri dan bukan menadah sana sini," katanya lagi.

Kerajaan negeri Perak sebelum ini merupakan antara yang terawal menerima seruan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk menukar jenis rumput di padang stadium utama kepada Zeon Zoysia.

Tawaran itu sememangnya sukar untuk diterima kerana kos penjagaan saban tahun boleh mencecah RM200,000 yang difikir terlalu membebankan kerajaan serta pihak pengurusan kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram