BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bolamati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
KHABARNYA apabila Yusri Che Lah buka mulut, pemain-pemainnya tekun mendengar. Apa saja diarahkannya, pemain-pemain akan akur menurutkan kehendaknya.
Daripada maklumat dalaman, ia bukan berkisar kepada perasaan takut mereka kepada ketua jurulatih Perak FC itu, sebaliknya lebih kepada rasa hormat dan keakraban yang terjalin di antara jurulatih dan pemain biarpun dia hanya mengambil alih selepas Datuk Lim Teong Kim dipecat pada 25 Mei 2023 – belum pun sampai setahun.
Jurulatih berusia 47 tahun yang banyak berperjalanan itu selepas mengendalikan enam pasukan berbeza sejak 2014 – Perlis, Felcra, Kelantan, Kuala Lumpur, skuad Projek FAM-MSN dan Perak – mengamalkan pendekatan “old school” dan lebih kepada acuan apa yang dikenali sebagai ‘player’s coach’ (jurulatih yang digemari pemain hingga mereka sanggup berhabis-habisan untuknya).
Jangan pula disalahertikan bahawa Yusri berlembut dengan-pemainnya – ada kalanya dia amat tegas apabila keadaan memerlukannya demikian. Sesekali melepaskan kemarahan dalam bilik persalinan, dia digambarkan umpama singa lapar yang mahu menerkam.
Satu lagi, bekas pemain Perlis, Selangor, Perak dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) selain memiliki tiga penampilan dan dua gol untuk pasukan kebangsaan (1999–2001) ini seorang yang berterus-terang. Berselindung dan banyak cakap berlapik tentu sekali bukan resminya.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jika saya cakap, boleh jadi panas', hubungan Salah-Klopp ibarat retak menunggu belah?
Yusri (tengah) diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan Perak untuk mengemudi The Bos Gaurus pada musim ini.
Bukan cara dia untuk menyatakan perkara yang enak didengar hanya untuk menyedapkan atau mengambil hati pemain-pemainnya – kalau hitam, hitamlah yang akan dihamburkannya kepada pemain, begitu juga sebaliknya jika ia putih – dengan tujuan agar mereka belajar supaya dapat menjadi bertambah baik.
“Walaupun ini perlawanan persahabatan tapi setiap tindakan yang kita lakukan terutama dalam separuh masa pertama bagi saya amat mengecewakan.
“Dalam keseluruhan permainan (45 minit pertama) saya kena bercakap secara benar kita tidak ada dalam perlawanan langsung,” katanya dalam sidang media selepas kemenangan 1-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam perlawanan persahabatan di Stadium Perak petang semalam yang dibawakan TBG TV.
Ia adalah perlawanan persahabatan kelima The Bos Gaurus (TBG) dalam tempoh pramusim selepas mengalahkan dua kelab Liga Singapura, Geylang International 3-0 dan Albirex Niigata 3-1, kemudian seri dengan Penang FC 0-0 dan tunduk kepada Selangor FC 2-3.
Perak FC seterusnya akan beraksi dalam perlawanan persahabatan timbal balik dengan Penang FC di Stadium Bandaraya pada 4 Mei sebelum berkunjung ke laman Terengganu FC untuk memulakan musim baharu pada 11 Mei.
Berpeluang memberi ujian lanjut kepada tiga daripada empat import barunya semalam -- Luiz Henrique Motta, Adilet Kanybekov dan Lee Tae-min kecuali Clayton da Silveira yang baru tiba dari Brazil pada Khamis – Yusri enggan terburu-buru menuntut pasukannya berada di kemuncak prestasi.
Clayton menjadi pemain terbaharu menyertai Perak.
Di samping mereka, Perak FC melanjutkan khidmat empat importnya musimnya lalu, Luciano Guaycochea, Jesper Nyholm, Sunday Afolabi dan Luka Milunovic manakala Seo Seon-ung sudah dilepaskan.
“Hari ini (semalam) saya menggunakan formasi yang agak berbeza. Saya ingin mencuba pemain-pemain, mungkin dalam masa satu minggu (mereka) boleh adaptasi kepada formasi diterapkan. Tapi perubahan amat ketara di separuh masa kedua.
“Seandainya sesuatu boleh berubah dalam permainan, apabila separuh masa pertama dan kedua itu ada perbezaan, bagi saya kemungkinan tahap pemahaman dan juga keinginan untuk menguasai perlawanan itu tidak ada.
“Sebaliknya, kita terikut-ikut dengan rentak pasukan Kedah yang bagi saya mendominasi 45 minit pertama.
“Apa yang lebih mencuri perhatian saya adalah second half pemain berjuang dengan betul dengan cara sebenar yang kita cuba terapkan dan kita dapat menguasai atau mengimbangi perlawanan.
“Kenapa separuh masa kedua (kita) boleh beraksi dengan perubahan mendadak? Bagi saya adalah fokus para pemain dan keinginan mereka untuk berada di posisi yang sebetulnya untuk menerima bola, itu yang lebih mustahak,” katanya lagi.
Selepas menamatkan cabaran musim lalu di tangga ke-11 dengan 22 mata, Perak FC diletakkan sasaran untuk menghimpun 40 mata pada musim 2024/25.
Mengambil kira Liga Super bakal ditandingi 13 pasukan, kurang satu daripada musim lalu, sasaran 40 mata itu – yang menempatkan Terengganu FC di tangga keenam dengan jumlah itu musim lalu – akan lebih sukar untuk dicapai. Sasaran itu mungkin dinilai semula.
“Kami akan cuba dapatkan jumlah mata itu seperti ditetapkan majikan. Saya harap penyokong akan terus memberi sokongan dan mendoakan kami. Kita sama-sama berjuang untuk naikkan nama Perak FC,” katanya.
BACA LAGI: Selepas 5 tahun kemarau trofi, JDTGBX mahu rampas eMFL Liga Super 2024
Guaycochea bakal dilantik menjadi kapten Perak musim ini.
Yusri turut enggan terburu-buru mempertaruhkan bekas pemain bawah 23 tahun Brazil, Clayton, 28, yang disasarkannya untuk beraksi ketika berdepan Penang FC seminggu lagi selain dibariskan dalam kesebelasan pertama dalam kunjungan ke Kuala Terengganu untuk perlawanan sulung liga.
“Kena ada ruang dan masa. Saya faham semua orang apabila kita dapat pemain ini, kita nak terus (gunakan). Seandainya pemain ini beraksi dalam liga (di Brazil) dalam seminggu atau dua minggu yang lalu, mungkin dia dalam kondisi yang baik.
“Tapi pemain ini datang selepas melebihi 36 jam (penerbangan), lima transit kalau tak salah saya, jadi sudah pasti jet lag dan kelesuan. Petang semalam (Jumaat) dia bersama dengan kita dan memang nampak kelesuan itu masih ada. Jadi, beri ruang dan peluang dan besok dia akan bersama pasukan untuk menjalani latihan.
“Pada Jumaat pagi, dia telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Global dan seterusnya ujian kekuatan. Alhamdulillah dia berjaya lepasi syarat yang kita perlukan dan pagi tadi (Sabtu) dia telah menandatangani kontrak (selama semusim) dengan Perak FC,” katanya.
Yusri juga mengambil perhatian terhadap perlawanan terakhir Clayton bersama Hercilio Luz FC adalah pada 17 Mac 2024 dalam suku akhir Kejohanan Wilayah Catarinense bertemu Criciuma Esporte Clube.
“Jadi, saya mengambil berat tentang satu bulan (Clayton tidak bermain). Bagi saya, satu bulan amat besar, dia perlu menjalani latihan kecergasan yang semaksimum mungkin untuk menempatkannya paling tidak ketika menentang Terengganu dalam Liga Super nanti.
“Saya harapkan seberapa segera dia adapt dengan kecergasan dan kemungkinan besar peluang untuk beraksi di Pulau Pinang itu amat cerah seandainya dia melepasi ujian,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram