'Takut air?', bekas CEO TBG jawab 3 soalan fans lepas aksi JDT-Perak tertangguh lagi


  • Podium
  • Ahad, 06 Okt 2024

Perlawanan Perak dan JDT ditangguhkan akibat hujan lebat dan permukaan padang yang tidak baik.

KEPUTUSAN Malaysia Football League (MFL) menunda perlawanan membabitkan Perak FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) buat kali kedua bagi musim ini masih mendapat respons kurang enak daripada kedua-dua penyokong.

Namun, pasukan tuan rumah menjadi lebih ‘panas’ apabila peminat The Bos Gaurus (TBG) mendakwa bas pasukan JDT lebih awal meninggalkan stadium meskipun pengumuman untuk menunda perlawanan masih belum rasmi.

Sikap yang dilihat seolah-olah tidak menghormati pasukan tuan rumah itu membuatkan para penyokong menyambung pergaduhan mereka di platform media sosial apabila majoriti peminat bersetuju Perak sepatutnya diberikan tiga mata penuh kerana tindakan Harimau Selatan meninggalkan stadium lebih awal.

BACA LAGI: Bekas CEO Perak FC berang MFL tunda lagi aksi Perak-JDT, ekor Harimau Selatan kempunan 'awayday' batal kali ke-2

BACA LAGI: Penyokong Perak naik angin bas JDT berdesup tinggalkan stadium, siap tunjuk video bukti padang masih baik

Manakala, peminat skuad kendalian Hector Bidgolio pula meletakkan keadaan padang yang bertakung akibat hujan tidak berhenti itu ke atas pengurusan Perak FC susulan enggan berbelanja untuk membaiki stadium utama mereka.

Tidak cukup pergaduhan sesama peminat dari kedua-dua pasukan, bekas Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Ariesham pula tampil mencurah minyak ke dalam api yang membara.

Menerusi sebuah laman Instagram peribadinya iaitu Ariesham, bekas orang kuat Perak berkenaan memuat naik foto dengan lukisan haiwan lembu yang seolah-olah mewakili Perak dan kambing seperti merujuk kepada JDT.

“Apa hal takut air,” tulis ayat pada foto berkenaan yang seolah-olah merujuk kepada keputusan MFL dan JDT menangguhkan perlawanan hanya kerana cuaca tidak mengizinkan.

Tidak cukup dengan foto sindiran berkenaan, Bobie Farid juga tampil menjawab soalan penyokong yang mendakwa pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu sanggup menghabiskan wang jutaan ringgit demi membawa masuk seseorang pemain.

WhatsApp Image 2024-10-06 at 15.20.17

Tangkap layar hantaran dari Bobie Farid.

Dakwaan Perak memiliki bintang dengan gaji mahal itu mula dicetuskan apabila ada penyokong mendakwa Perak lebih gemar melabur kepada pemain daripada menambah baik fasiliti sedia ada mereka.

“Rasa macam tiada (dakwaan pemain mahal). Menteri Besar Incorporated bukan Perak FC (jawabnya selepas mendakwa Perak tidak menerima tawaran Kementerian Belia Sukan untuk menaik taraf padang).

“Padang kami sewa, kenapa pula kami perlu ada? Selepas itu perlu sediakan pengangkutan untuk bawa dan balik serta pasang ibarat stadium itu kami yang punya,” jelasnya ketika menjawab soalan penyokong mengenai keperluan untuk menyediakan kanvas bagi mengelak padang bertakung.

Dalam pada itu, penangguhan perlawanan melibatkan JDT dan Perak ini juga pernah berlaku apabila situasi sama turut ditangguhkan akibat padang bertakung berikutan hujan lebat yang berlaku pada 17 Ogos lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram