KERINDUAN seorang pemain bola sepak terhadap kelab lamanya pasti akan sentiasa berlaku lagi-lagi jika pasukan tersebut mempunyai jasa dan membentuknya menjadi seorang bintang.
Sebagai contoh sebelum ini, bekas kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar pernah tersalah sebut nama pasukan Sang Kenari dalam satu sesi temu bual walaupun ketika itu dia sudah menyarung jersi skuad Sang Badak.
Terbaharu, bekas arkitek tengah Perak FC, Kenny Palraj dilihat masih merindui pasukan lamanya itu meskipun pemain berusia 29 tahun berkenaan sudah meninggalkan skuad Seladang selama dua tahun.
Perkara itu dapat dibuktikan apabila seorang penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) memuat naik tangkap layar gambar profil Kenny sewaktu dia bersama Perak FC.
"Min respect dengan Kenny Raj ini walau dah main dengan kelab KL City dah dua musim masuk tahun ini tetap DP FB (profil Facebook) dia tidak tukar lain tetap dengan Perak," tulis penyokong Perak yang menggunakan nama akaun Facebook, Amy Amygoodyear.
Kenny juga pernah menjulang Piala Malaysia bersama skuad Warga Kota pada 2021.
Bersama Perak sejak 2016 sebelum memutuskan untuk berhijrah ke skuad Warga Kota pada 2020, pasti kenangan dan pengalaman bersama skuad TBG pasti antara perkara yang tidak dapat dilupakan anak jati Ipoh itu.
Perak FC boleh dikatakan kelab yang membentuk diri Kenny sebagai seorang pemain sejak beraksi di peringkat Piala Presiden dan dia juga pernah akui agak sukar untuk membuat keputusan meninggalkan Perak FC.
Antara trofi yang pernah dijulang pemain tengah itu bersama Perak FC ialah Piala Malaysia 2018, Piala FA 2019 dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2019.
Malah Kenny juga mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi Asia apabila mewakili Perak dalam Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2019 menentang Ulsan Hyundai FC.
Poster sewaktu Perak bertemu Ulsan Hyundai pada 2019.
Untuk rekod, Kenny sendiri pernah meluahkan hasrat untuk kembali menyarung jersi Perak FC sekiranya mendapat peluang tersebut satu hari nanti.
Memetik laporan Harimau Malaya, walaupun Kenny sudah dua musim meninggalkan kelab itu, namun beliau masih lagi memasang impian untuk kembali ke Ipoh, Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram