Media asing kata keputusan Jese sertai JDT 'langkah sumbang'


  • Podium
  • Isnin, 07 Okt 2024

Jese pernah beraksi buat beberapa pasukan sebelum meneruskan karier bersama skuad Harimau Selatan.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus mengorak langkah dalam menaikkan lagi mutu pasukan selepas mengumumkan kehadiran penyerang baharu, Jese Rodriguez yang menyertai mereka selepas bergelar ejen bebas.

Dia yang sebelum ini beraksi untuk Coritiba di divisyen kedua Brazil bukan sahaja menjadi rekrut bernilai di atas padang, malah dapat menaikkan lagi nilai komersial pasukan.

Ini selepas perpindahannya meraih perhatian daripada wartawan ternama, Fabrizio Romano yang sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan menjadi kelab Liga Super pertama menerima laporan antarabangsa sebegitu.

BACA LAGI: TMJ, JDT sudah 'ajar' cara jaga padang lebih 10 tahun lalu

BACA LAGI: Tukar venue di ACLE patut jadi manual MFL elak kontroversi Perak-JDT berulang

462142790_1108413490654626_1589676202905081173_n

Jese menjadi penyerang baharu skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Perkara berkenaan sudah tentu melonjakkan lagi perasaan penyokong JDT yang berbangga kelab berkenaan dapat menarik pemain yang berpengalaman di sekitar Eropah.

Bagaimanapun, perpindahan itu tidak menerima respons sama di Eropah apabila terdapat agensi media mengatakan keputusannya menyertai skuad Harimau Selatan hanya mensia-siakan.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Give Me Sport, mereka berasakan keputusan Jese mencari pengalaman di Asia menimbulkan sedikit persoalan meskipun dia sudah tidak berada dalam prestasi terbaik beberapa tahun kebelakangan ini.

Setelah pernah meraih dua gelaran Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bersama Real Madrid, pemain kelahiran Sepanyol berkenaan mengalami kecederaan serius sehingga menyaksikan prestasinya merudum.

hi-res-17b2ed46ebff168545c84b02f2cc6f09_crop_north

Jese tidak memberikan sebarang impak ketika beraksi untuk PSG. Agensi

Perpindahan ke Perancis untuk menyertai Paris Saint-Germain juga tidak membuahkan sebarang hasil apabila dia hanya sempat merekodkan dua gol dalam 18 penampilan.

Tidak cukup dengan itu, sepanjang empat tahun bersama pasukan terbabit, Jese kerap dipindahkan ke beberapa kelab lain dengan keputusan itu hanya merencatkan usahanya mendapatkan rentak terbaik.

Dia kemudiannya menyertai kelab sekitar Eropah, seperti Ankaragucu di Turkiye dan Sampdoria di Itali sebelum mengembangkan kariernya sehingga ke Amerika Selatan sebelum kini mencuba nasib di Liga Super bersama JDT.

Meskipun skuad Harimau Selatan memiliki reputasi tersendiri, keputusan Jese untuk mencuba suasana berbeza masih menimbulkan persoalan memandangkan dia dahulunya pernah meraih pujian menggunung.

Bagaimanapun, sekiranya pemain berusia 31 tahun itu dapat kembali ke tahap terbaik, ia pasti dirasakan cukup buat penyokong yang terus mengharapkan cengkaman mereka di pentas Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram