TMJ berjaya 'collect trio' import rakan CR7, Lionel Messi dan Neymar


  • Podium
  • Selasa, 08 Okt 2024

Ronaldo, Messi dan Neymar antara tiga rakan sepasukan import yang pernah sertai JDT.

JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) terus memperkukuhan nama mereka di persada dunia apabila berjaya menarik minat bekas pemain Real Madrid, Jese Rodriguez untuk memperkuatkan Harimau Selatan dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Pemain berusia 31 tahun itu menjadi bintang ke-10 dibawa JDT musim ini selepas sudah menandatangani Iker Undabarrena, Andoni Zubiaurre, Jorge Obregon dan beberapa import lain.

Jese boleh dilabel sebagai 'big signing' buat JDT musim ini kerana pengalamannya beraksi bersama beberapa kelab handal di Eropah.

BACA LAGI: Watak utama JDT benam Shanghai Shenhua, Juan Muniz diiktiraf AFC sebaris bekas bintang Liverpool, Real Madrid

BACA LAGI: [VIDEO] Berjaya pikat Jese Rodriguez, fans JDT pernah 'bermimpi di siang hari' tentang 3 bintang kelas A

Kemasukan Jese di kem Harimau Selatan telah melengkapkan 'trio' pemain yang pernah beraksi bersama bintang dunia iaitu Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar da Silva.

Majoriti senaraikan tiga pemain import JDT yang pernah beraksi bersama ikon bola sepak dunia itu:

Jese-Ronaldo

Jese ketika beraksi bersama Ronaldo di Real Madrid.

1. Jese Rodriguez - Cristiano Ronaldo

Bintang baharu JDT, Jese pernah beraksi bersama kapten Portugal, Cristiano Ronaldo sepanjang mereka mewakili Real Madrid.

Jese beraksi dalam 75 perlawanan bersama Ronaldo sejak musim 2013/2014 dan merekodkan empat jaringan sebelum pemain baharu JDT itu memilih berhijrah ke Paris Saint-Germain pada 2016.

Aksi debut Jese bersama Ronaldo ketika menewaskan Athletic Bilbao pada musim 2013/2014 dengan pemain itu beraksi sebanyak 17 minit selepas menggantikan Karim Benzema.

Dalam 347 penampilan sepanjang karier, Jese telah menjaringkan 80 gol dan 48 'assist' bersama sembilan pasukan pernah disertainya.

Patito-Neymar

Patito (kiri) dan Neymar bersama-sama membantu Santos menjuarai gelaran Liga Brazil.

2. Patricio Rodriguez - Neymar da Silva

Penyerang kelahiran Argentina, Patricio Rodriguez merupakan salah seorang pemain yang mempunyai latar belakang menarik.

Bekas import JDT itu hadir dari kelab Brazil, Santos FC hampir sedekad lalu.

Dia yang menyertai skuad Harimau Selatan secara pinjaman pada 2015 menjadi bualan hangat kerana pernah beraksi di samping bintang bola sepak ternama, Neymar da Silva.

Bersama Neymar, Patricio atau lebih dikenali Patito beraksi sebanyak 23 perlawanan semasa di Santos FC.

Sepanjang 23 perlawanan itu, Patito berjaya membantu Neymar menjaringkan dua gol hasil umpanan yang diberikan kepada bintang Brazil itu.

Aimar-Messi

Messi dan Aimar (kiri) ketika berada dalam skuad nasional Argentina.

3. Pablo Aimar - Lionel Messi

Mungkin inilah bintang Piala Dunia paling hebat pernah bermain di Liga M.

Pablo Aimar merupakan antara bintang di bahagian tengah buat Argentina suatu masa dahulu.

Mewakili gergasi Amerika Selatan itu pada Piala Dunia 2002 dan 2006, Aimar dikenali sebagai antara pemain tengah menyerang terbaik pada eranya.

Ketika bersama Argentina, Aimar telah berkongsi padang dengan Lionel Messi dalam 13 perlawanan buat negara kelahirannya itu.

Meskipun tidak banyak rekod bermain bersama, Aimar berjaya menyumbangkan satu bantuan 'assist' buat Messi ketika perlawanan persahabatan menentang Algeria pada 2007.

Aimar menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pertengahan musim 2013. Walaupun bertahan sekadar semusim, tetapi impaknya bersama Harimau Selatan cukup baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram