SUDAH menjadi 'trend' buat negara-negara di rantau Asia Tenggara mencari pemain-pemain warisan yang berkelana di Eropah bagi memperkuatkan skuad kebangsaan masing-masing.
Malaysia juga tidak ketinggalan untuk meneroka pemain-pemain yang dipercayai memiliki susur galur dengan negara ini untuk memperkuatkan Harimau Malaya.
Terbaharu, Mats Deijl yang mempunyai keturunan Malaysia menerusi moyangnya melalui pengesahan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak dapat beraksi untuk Harimau Malaya kerana syarat yang dikenakan oleh FIFA.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya nak main untuk Selangor', Razman Roslan kata bukan hanya sebab Hamidin suruh keluar
BACA LAGI: [VIDEO] Kini No. 2 Chinese Super League, JDT perlu awasi bekas anak didik Jurgen Klopp
Namun begitu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berputus asa untuk mencari lebih ramai pemain-pemain warisan yang beraksi di Eropah.
Antara nama yang dikaitkan dengan Harimau Malaya ialah Josh Brownhill dan Zian Flemming yang kini beraksi bersama Burnley FC.
Sebelum kehadiran Dion Cools, Darren Lok, Stuart Wilkin dan beberapa bintang lain, sebenarnya Harimau Malaya sudah ada pemain warisan yang menjuarai Piala AFF 2010 bersama-sama.
Pemain itu ialah Mahali Jasuli yang mempunyai darah Indonesia menerusi ibu bapanya.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Mahali menerusi podcast Bola Dulu Baru Kamu! terbitan Astro Arena.
Berkongsi dalam podcast yang dihoskan oleh bekas pemain, Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak, Mahali berkata, ibu bapanya memang dari Indonesia.
"Memang betul pun saya ada darah Indonesia, sebab mak ayah saya memang orang Indonesia.
"Sebab saya lahir dekat sini (Malaysia) jadi dapat warganegara sini, tapi memang betul mak bapa saya orang Indonesia.
"Sampai sekarang masih lagi penduduk tepat dan kad pengenalan (IC) merah, tapi kalau lahir dekat sini automatik dapat IC biru.
"Waktu itu memang kecoh, tapi saya tak ada buat keluar kenyataan sebab memang betul, sampai penyokong Indonesia kata saya pengkhianat," kongsinya dalam Bola Dulu Baru Kamu!
Untuk rekod, Mahali kini beraksi bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) selepas meninggalkan Negeri Sembilan FC pada musim lalu.
Antara kelab yang pernah disertai Mahali ialah Selangor, Johor Darul Ta'zim (JDT), PKNS FC dan Petaling Jaya City FC.
Musim ini, Mahali banyak panaskan bangku simpanan dengan hanya tiga penampilan bersama KL City. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram