BENTENG pertahanan Harimau Malaya mungkin mengalami ujian sukar untuk mengekang asakan penyerang utama New Zealand, Chris Wood dalam aksi persahabatan antarabangsa yang akan berlangsung di Stadium North Habour, New Zealand pada 14 Oktober nanti.
Pemain berusia 32 tahun itu juga merupakan tonggak utama Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Dalam tujuh penampilan, Wood telah menjaringkan empat gol bersama The Forest dan diberi kepercayaan oleh Nuno Espirito Santo sebagai kesebelasan utama pasukan.
Pada Ahad, Wood seolah-olah memberi amaran buat Malaysia selepas mudah membolosi gawang Chelsea di Stamford Bridge untuk membantu Nottingham Forest mengutip satu mata berharga di tempat lawan.
Bekas pemain Newcastle United itu beraksi dalam kesebelasan utama Nottingham Forest ketika mengikat Chelsea 1-1 di Stamford Bridge.
Dengan empat jaringan musim ini bersama Nottingham Forest ia memberikan gambaran awal mampu menghadirkan masalah besar buat Harimau Malaya.
Perlawanan di Auckland itu bakal menyaksikan skuad kebangsaan perlu berdepan lawan yang cukup hebat dengan misi mahu memperbaiki kedudukan ranking FIFA.
Kehadiran Wood yang membentuk gandingan mantap bersama Matthew Garbett dan Elijah Just bakal menghadirkan situasi sukar buat Harimau Malaya.
Untuk rekod, New Zealand yang dibimbing oleh Darren Bazeley berada dalam momentum terbaik apabila hanya tewas sekali dalam enam perlawanan terakhir termasuklah ketika mengikat Amerika Syarikat (AS) dengan keputusan 1-1.
Skuad negara turut berada dalam prestasi cemerlang selepas muncul juara Pestabola Merdeka 2024 apabila menewaskan Lubnan dengan keputusan 1-0 pada bulan lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram