Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
HIDUP telah berubah secara dramatik buat K. Nanthakumar. Baru dilantik selaku ketua jurulatih Negeri Sembilan FC pertengahan bulan ini, secara tiba-tiba terlalu banyak yang dirasakan perlu dilakukannya. Senarai kebimbangannya turut bertambah – baik mengenai pasukannya sendiri mahupun lawan yang bakal dihadapi.
“Tidur malam saya juga tidak berapa lena seperti sebelum ini,” katanya.
Selepas sekian lama memikul tugas selaku penolong jurulatih – dua musim membantu K. Devan dan kemudian bersama Azzmi Aziz sejak awal musim ini – bekas pemain pertahanan berusia 46 tahun itu beruntung merasakan kedua-dua pengalaman di atas ketika menduduki tangga keempat liga pada 2022 dan di bawah apabila permulaan musim ini serba tak menjadi.
BACA LAGI: [VIDEO] Dah macam Zii Jia, Muhammad Fareez bergaya tumpaskan atlet Jepun misi ke final Paralimpik
BACA LAGI: Skuad Jang terima nafas baharu, bekas tonggak KL City disebut dalam radar NSFC
Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar. — Facebook/NSFC
“Selepas tujuh perlawanan (musim ini), mereka maklumkan untuk saya ambil alih pasukan (daripada Azzmi) dua hari sebelum perlawanan menentang Kedah FC di Alor Setar (pada 17 Ogos). Saya tidak pun punya banyak masa untuk siapkan pasukan kerana semua ini berlaku sebagai satu kejutan,” kongsinya dengan Bola Pegun sambil mengingati skuad Rusa ketika itu terperosok di tangga terbawah.
Namun, berbanding sebilangan jurulatih lain yang bermula dengan langkah kiri, Nantha lebih bertuah apabila dalam tugas pertamanya, Negeri Sembilan FC bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat tuan rumah itu hasil dua gol Jacque Faye.
“Saya ingatkan pemain-pemain yang kita berdepan salah satu pasukan terbaik dalam liga. Kita tak boleh pergi ke tempat mereka dan cuba bermain secara terbuka, jadi pilihan yang ada ialah lebihkan bertahan dan bergantung kepada serangan balas pantas. Pendekatan kita berjaya dan saya gembira walaupun dapat satu mata,” katanya.
Nantha, yang mewakili Perak (1999-2005), MPPJ (2006), Perak (2007-2008), Selangor (2009), Perak (2010-2012), Kelantan (2013), Negeri Sembilan (2014), MIFA (2015-18) selain tampil dalam 36 perlawanan antarabangsa ketika menganggotai pasukan kebangsaan dari 2002–2010, boleh dikatakan banyak berperjalanan dan luas pengalaman.
Senarai pencapaiannya juga bukan singkat dengan tertulis semua gelaran pernah dimilikinya – Liga Perdana 1 pada 2002 dan 2003, Piala FA 2004, Piala Malaysia 1998 dan 2000 dan Piala Sumbangsih 1999 bersama Perak, Piala Sumbangsih 2009, Liga Super 2009 dan Piala FA 2009 bersama Selangor, dan Piala FAM 2016 bersama MISC-MIFA.
Perguruannya sebagai jurulatih bermula ketika membimbing Perak dalam Piala Presiden pada 2019 yang menyaksikan mereka mara hingga ke final sebelum tunduk 1-2 kepada PKNS. Bagaimanapun, penularan Covid-19 membataskan tugasnya kepada hanya empat perlawanan pada 2020 dan tiada pekerjaan kerana tiada pertandingan pada 2021 gara-gara virus itu.
Jacque Faye (kanan) muncul wira bagi skuad Jang dalam mengikat Kedah Darul Aman FC dengan keputusan 2-2 saingan Liga Super 2024. — Facebook/MFL
“Keadaan sangat sukar pada 2021 kerana tiada pendapatan,” sambung Nantha yang mengakui bertuah dilantik sebagai pembantu Devan mengendalikan Negeri Sembilan FC pada musim 2022 yang mengangkat skuad Rusa itu di tangga keempat di belakang JDT, Terengganu FC dan Sabah FC.
Semusim di bawah kendalian Devan ketika mewakili Selangor FC pada musim 2009 dianggapnya membina kepercayaan di antara kedua-duanya untuk dia mendapat panggilan jurulatih itu berpindah ke Seremban pada 2022.
“Tanpa Coach Devan, saya tidak akan berada di sini hari ini. Saya banyak belajar daripadanya dan sekarang pun saya banyak merujuk kepadanya. Selepas seri dengan Kedah tempoh hari, Coach Devan ada mengucapkan tahniah. Saya benar-benar berterima kasih kepadanya,” katanya.
Hakikat bahawa tujuh daripada pilihan kesebelasan pertama Negeri Sembilan FC sudah berusia 30 tahun atau lebih – R. Aroon Kumar, 30, Dzulfahmi Abdul Hadi, 30, Hadin Azman, 30, Jacque Faye, 31, Mika Junco, 31, R. Barathkumar, 32, dan Nasrullah Haniff Johan, 34 – turut tidak menggusarkan jurulatih itu.
Sebagai pemain berpengalaman, katanya, mereka tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan sesuatu perlawanan, mengawal tempo permainan dan meletakkan diri di posisi diperlukan tanpa perlu mengerah tenaga seperti pemain lebih muda.
“Selain itu, saya boleh bergantung kepada pengalaman mereka untuk membimbing pemain lebih muda dalam pasukan, lebih-lebih lagi ketika kami berada di bawah tekanan,” katanya.
Satu perkembangan paling positif ialah menonjolnya Faye – pemain yang segan membuat penyudah ketika bersama PDRM FC sebelumnya – untuk menjadi pergantungan mendapatkan jaringan setelah menghasilkan tiga gol setakat ini.
“Saya dapat lihat tahap keyakinannya semakin hari semakin meningkat. Saya sentiasa galakkannya untuk melakukan percubaan, baik ketika permainan terbuka atau dalam situasi bola mati,” katanya.
Pemain sayap NSFC, Hein Htet Aung cuba merampas bola daripada pemain Sang Kenari daripada pintu gawang skuad Jang. — Facebook/MFL
Nantha juga berkongsi sudah mengemukakan cadangan kepada pihak pengurusan untuk membuat penambahbaikan sempena jendela perpindahan kedua yang sedang dibuka hingga 22 Sept ini.
“Saya perlukan dua hingga tiga pemain import baharu untuk memperkuatkan pasukan. Kertas cadangan sudah dimajukan kepada pihak pengurusan dan kami dijangka duduk berbincang minggu depan,” katanya.
Tinjauan dalam kalangan penyokong skuad Rusa di media sosial mendapati ramai yang menuntut supaya Mika – penyerang yang meledak 21 jaringan dalam 35 penampilan untuk KTP FC dalam liga Finland pada 2022 dan 2023 – digantikan kerana baru mencetak satu gol daripada tujuh penampilan.
Nanthakumar menjelaskan sebagai jurulatih yang baru dilantik, masih banyak ruang untuk dia perbaiki tahap kekuatan pasukan, termasuk merancang dan mempertingkatkan lagi keupayaan ke tahap lebih tinggi.
Negeri Sembilan FC ketika ini mengisi tangga ke-12 liga – kedua terbawah -- dengan mengumpul empat mata dalam lapan perlawanan hasil satu menang, satu seri dan enam kalah.
“Harapan saya ialah kita dapat meningkat dari kedudukan ini. Saya mahu melakukan yang terbaik untuk pasukan. Tiada sasaran khusus tapi seboleh-bolehnya kita mahu berkusudahan di tangga ketujuh atau kelapan,” katanya lagi.
Itu, jika mampu dicapai pada penamat aksi liga pada April tahun depan, akan mengangkat Negeri Sembilan FC setakuk lebih baik daripada tangga kesembilan di bawah kendalian Devan musim lalu.
Buat Nantha, itu juga akan menjadi bukti kehadirannya sebagai penyelamat selain memanfaatkan segala tunjuk ajar yang diperturunkan oleh gurunya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram