SELEPAS memulakan kempen Liga Super dengan langkah kiri, Penang FC terus mengorak langkah mereka tersendiri apabila berjaya mencatatkan kemenangan kedua pasukan musim ini.
Keputusan bergaya 4-2 yang diraih dalam satu perlawanan bersama PDRM FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Isnin meletakkan kelab Utara tanah air tersebut di tangga ke-10 selepas lapan perlawanan.
Antara yang menjaringkan gol dalam pertembungan dengan skuad Sang Saka Biru adalah penyerang import, Soony Saad yang membantu Penang FC membawa pulang tiga mata penuh.
Menurut pemain berusia 30 tahun itu, keputusan akhir yang dicatatkan pasukannya lebih penting berbanding jumlah gol peribadinya dalam Liga Super.
"Setakat ini, saya sudah menjaringkan empat gol dalam kesemua penampilan, termasuk ketika saya dilayangkan kad merah semasa bertemu Kelantan FC pada minit-minit akhir perlawanan.
"Saya tidak mementingkan berapa banyak yang saya dapat jaringkan kerana pasukan adalah lebih penting. Jika saya buat segalanya dengan baik, saya akan berada di posisi terbaik untuk membantu kelab ini," katanya.
Soony (depan) sudah semakin selesa bersama skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Jelas pemain antarabangsa Lubnan itu, kehadirannya di Utara tanah air sepertinya disambut baik, termasuk dalam kalangan pihak kejurulatihan skuad Harimau Kumbang.
"Saya rasa saya sudah melakukan keputusan terbaik untuk sertai Penang FC kerana saya bermain bersama pasukan yang membuatkan saya rasa diterima, dipercayai dan mampu memberi sumbangan.
"Seperti mana kita tahu, keputusan pihak pengurusan untuk melakukan perubahan terhadap jadual untuk memberi kemudahan kepada pemain Muslim menunjukkan rasa tolak ansur kesemua individu," katanya lagi.
Dalam perlawanan menentang PDRM FC itu, Soony menjaringkan dua gol dengan satu daripadanya apabila dia tenang menampan masuk umpanan daripada Hadin Azman pada minit ke-17.
Pemain kelahiran Amerika Syarikat terbabit sekali lagi muncul sebagai wira buat Penang FC dengan satu sepakan percuma deras ke gawang pihak lawan.
Skuad Harimau Kumbang selepas ini bakal bertemu Kuching City FC di Stadium Negeri, Sarawak pada Sabtu untuk pusingan 16 pasukan Piala FA 2023. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram