Lupakan Mats Deijl, lebih baik Pau Marti pantau 3 bek kanan 'underrated' Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Kenyataan FAM pada Selasa mengumumkan Mats Deijl tidak layak untuk menjadi pemain warisan Harimau Malaya. — Instagram/MatsDeijl

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Mats Deijl tidak melepasi syarat kelayakan untuk menyertai skuad Harimau Malaya selepas mendapat surat rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan badan induk berkenaan, susur galur bek kanan itu untuk menyaksikannya beraksi di Harimau Malaya tidak kesampaian memandangkan dia hanya memiliki hubungan di peringkat nenek moyang.

Bukan hanya penyokong Harimau Malaya kecewa dengan keputusan berkenaan, Mats Deijl sendiri mengakui kecewa apabila mendapat panggilan daripada FAM yang memberitahu bahawa dia tidak layak beraksi dengan skuad kebangsaan.

BACA LAGI: Hilang khidmat Ivan Mamut, peluang Safawi Rasid curi hati Tomislav Steinbruckner

BACA LAGI: Terengganu nafi khabar angin Tomislav Steinbruckner meninggal dunia

“Saya baru sahaja dapat panggilan telefon. Sangat mengecewakan. Semoga pada masa akan datang mungkin menjadi tetapi buat masa ini tidak. Peraturan bodoh," katanya dalam perbualan bersama laman pencari bakat, frfuturetalents.

Pengesahan dari badan induk berkenaan membuatkan para penyokong mula mencadangkan agar Pau Marti Vicente selaku jurulatih interim Harimau Malaya mula mencari bek kanan tengah meningkat naik dalam saingan Liga Super.

Daripada terus meratapi berita Mats Deijl tidak boleh beraksi bersama Harimau Malaya, tiga pemain Liga Super yang tengah meningkat naik boleh menjadi calon sesuai untuk diserap masuk ke skuad kebangsaan.

1) Jimmy Raymond

WhatsApp Image 2024-10-02 at 21.00.54 (1)

Jimmy merupakan watak utama The Cats pada musim ini. — Facebook/KuchingCity

Pertahanan kanan Kuching City FC, Jimmy Raymond antara pemain tempatan yang kini sedang menunjukkan perkembangan sangat positif buat pasukan tersebut di pentas domestik.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak dilihat bijak menggunakan bakat pemain berusia 28 tahun itu sehingga dia berhasil mengetepikan tonggak lain dan kini sudah tampil dalam kesemua perlawanan Liga Super buat The Cats.

Tonggak lincah seperti Jimmy berkeupayaan untuk membantu serangan serta pertahanan pasukan selain menutup setiap peluang cuba dijelmakan oleh pemain serangan dari sebelah kanan.

Melihat kepada saingan perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium North Harbour dekat Auckland, New Zealand 14 Oktober ini, ia mungkin mampu menjadi pentas terbaik buat Jimmy beraksi di pentas antarabangsa buat pertama kali.

2) Kamal Azizi

WhatsApp Image 2024-10-02 at 21.00.55

Kamal sudah berkhidmat hampir empat musim bersama The City Boys. — Facebook/KLCity

Sejak bersama Terengganu FC (TFC) pada 2017 sehingga menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC pada 2021, Kamal Azizi masih konsisten dalam memberikan persembahan terbaik di bahagian pertahanan kanan.

Meskipun sudah berusia 31 tahun, Kamal masih menjadi pilihan utama skuad Warga Kota dan pemain yang mesra dengan sapaan Ayoh itu sudah tampil dalam 90 aksi termasuk di pentas Asia.

Anak jati Terengganu berkenaan seorang pertahanan yang sangat berdisiplin dan rajin membendung asakan pemain lawan sehingga menyukarkan untuk mereka melakukan serangan ke kubu KL City.

Meskipun sudah tujuh tahun cemerlang menjaga pertahanan The Cats namun Kamal masih tidak berpeluang mewakili skuad kebangsaan dan namanya sekadar diletakkan dalam senarai bersedia Harimau Malaya sahaja.

3) Sharul Nazeem Zulpakar

WhatsApp Image 2024-10-02 at 21.00.54

Shahrul Nazeem beraksi sebagai bek kanan Gergasi Merah pada musim ini. — Facebook/SelangorFC

Musim ini, Shahrul Nazeem Zulpakar atau mesra dengan sapaan Afro menjadi bahan eksperimen berjaya Nidzam Jamil apabila pengendali berkenaan berhasil menukar posisinya ke bek kanan daripada pertahanan tengah.

Walaupun pada awalnya agak bergelut untuk membiasakan diri namun pemain berusia 25 tahun itu semakin selesa menjalankan tanggungjawab sebagai bek kanan pada hampir semua perlawanan musim ini.

Cabaran yang berhasil dipenuhi oleh Shahrul Nazeem itu membuktikan pemain berkenaan mampu menggalas tanggungjawab untuk menjadi pertahanan kanan terbaharu skuad Harimau Malaya pada suatu hari nanti.

Meskipun nama dan pengalamannya tidak setanding bek kanan lain seperti Matthew Davies dan Azam Azmi Murada, namun Shahrul Nazeem boleh membantu Malaysia meraih keputusan positif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram