BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
“BANYAK kerja rumah yang saya perlu buat,” cetus Yusri Che Lah selepas kekalahan 1-2 kepada Kuching City FC malam tadi – kekalahan ketiga daripada tiga perlawanan di halaman sendiri setakat ini – sebagai membayangkan terlalu banyak yang tidak kena dengan pasukan bimbingan ketua jurulatih Perak FC itu.
Jurulatih itu jelas tidak dapat menyimpulkan satu aspek khusus yang menjadi punca kecuali menyalahkan tahap keyakinan pemain yang tidak mencapai aras yang diharapkannya di samping tiada penawar segera yang boleh didapatkannya di mana-mana.
BACA LAGI: Muda-muda lagi aura pemimpin sudah ada, Arif Aiman tak keseorangan galas tanggungjawab kapten
BACA LAGI: [VIDEO] Import baharu JDT pernah beraksi dengan anak Zinedine Zidane, ex bintang Kelantan
“Pemain-pemain perlu melihat seandainya mereka merasakan mereka sudah cukup berada dalam level dalam Liga Super, ternyata mereka perlu lebih bekerja keras untuk sampai level yang sepatutnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.
“Sukar untuk setiap jurulatih menggambarkan bagaimana kita handak memberikan keyakinan (kepada pemain). Keyakinan ni atas dasar pemain sendiri untuk mendapatkannya secepat mana untuk setiap tindakan mereka.
“Jadi, keyakinan tersebut kita tak ada ubat atau tonik untuk cucuk mereka. Sebenarnya, mereka sendiri yang perlu membuat keputusan yang betul.
“Kita plan apa yang kita dah plan sebenarnya berlaku hanya untuk separuh masa pertama. Sayangnya ia tidak dapat diteruskan untuk separuh masa kedua,” tambahnya.
Dalam perlawanan yang sepak mulanya tertangguh sejam dari 8.15 malam disebabkan hujan lebat, Perak FC tidak menunggu lama untuk berada di depan melalui jaringan Wan Zack Haikal Wan Noor seawal minit ketujuh. Malangnya, tuan rumah gagal mempertahankan kelebihan itu apabila The Cats bangkit dengan dua jaringan melalui Jordan Mintah (m- 69) dan Tchetche Kipre (m-77).
Sambil Perak FC tersepuk di tangga kesembilan dengan enam mata selepas tujuh perlawanan, Kuching City FC harus menuntut perhatian ramai apabila melonjak ke tangga keempat liga – satu kedudukan yang tidak pernah dicapai mereka sebelumnya.
Yusri mungkin hanya boleh berharap untuk pasukannya berada di tempat lawan berkenaan.
Yusri kini didesak oleh penyokong Perak untuk meletakkan jawatan selepas aksi hambar pasukan dalam enam perlawanan Liga Super.
“Apabila kali pertama tewas (di tempat sendiri), kali kedua tewas, kali ini ia menjadi satu perkara yang negatif. Apabila tiga kali berturut-turut berlaku di gelanggang sendiri, sering kali apabila kita di depan kita akan ditekan sehingga membuat kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya,” katanya.
Sesiapa sahaja boleh mengagak nasib yang bakal menanti The Bos Gaurus (TBG) dalam perlawanan keempat di Stadium Perak kerana lawan berikutnya pada 17 Ogos ini tidak lain daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) – pendahulu liga dengan rekod 100 peratus dengan menyumbat 21 gol dan bolos cuma tiga selepas enam perlawanan.
“Walaupun perjuangan kita selepas ini masih dalam perlawanan di tempat sendiri, kita harus keluar dari zon selamat... maksudnya pemain harus kekal positif dan kena kerja keras. Saya tak nampak ada isu masalah, cuma tahap keyakinan, yang itu sahaja.
“Tahap keyakinan yang perlu kita tekankan kerana apabila kita mendapat kawalan (penguasaan) bola, sukar untuk kita tewas. Seandainya kita tanpa kawalan bola, kita akan terdedah dengan jaringan oleh pihak lawan. Itu yangg terjadi kepada kita malam ini dan dalam dua perlawanan sebelum ini,” tambahnya.
Sambil memohon maaf kepada penyokong yang terus dikecewakan di Stadium Perak – kalah 2-3 kepada PDRM FC pada 18 Mei dan 0-2 kepada Penang FC pada 13 Julai – Yusri berkongsi kekecewaan mereka yang membeli tiket dan mengharapkan pasukan mereka meraih kemenangan.
“Amat merisaukan... lebih-lebih lagi dalam pramusim mereka tampilkan sesuatu yang memberikan harapan yang cukup tinggi kepada peminat. Tetapi malangnya selepas pramusim berakhir, masuk dalam liga, kita berada dalam keadaan yo yo.
“Saya mohon maaf sekali lagi walaupun ada kata-kata kurang enak didengar (daripada peminat), saya faham keadaan mereka. Saya sendiri pun tak mau kalah. Saya berada di sini bukan untuk menerima kekalahan, menerima makian kerana saya ada keluarga, ada maruah,” katanya.
Yusri juga mengundang perhatian terhadap keupayaan Perak FC menghasilkan 10 gol – pertemuan dengan Penang FC satu-satunya yang mereka gagal membuat jaringan – tetapi hakikat bahawa mereka bolos 13 kali dalam tujuh perlawanan perlu diterima sebagai kekurangan dalam pasukan.
“Jika melihat daripada tujuh perlawanan liga, kita sering kali menukar centreback -- satu perkara yang amat-amat tidak sihat sebenarnya. Kepada team yangg agak kuat, dia tidak selalu membuat pertukaran di centreback ni. Kita sering kali (berdepan) dengan kecederaan, dengan penggantungan.
“Jadi, saya terpaksa gunakan Sunday (Afolabi) ke posisi tersebut. (Luiz) Motta pula berada di luar kerana baru pulih daripada kecederaan hamstring. Jesper (Nyholm) baru pulih daripada vertigo dua tiga hari lalu dan Afif (Asyraf Zabawi) juga ada kecederaan.
“Banyak kecederaan yang mengganggu momentum kesebelasan utama sebenarnya tapi saya tidak boleh memberi sebarang alasan tersebut. Apa yang pasti kita perlu lebih bekerja keras selepas ini,” katanya.
Di sebalik tekanan makin memuncak ke atasnya untuk digantikan, Yusri bagaimanapun belum bersedia untuk mengaku kalah, sebaliknya terus menaruh harapan untuk pasukannya mendaki anak-anak tangga liga, dengan jendela perpindahan kedua meluangkan untuk penambahbaikan dilakukan.
“Kita punya peluang dan ruang untuk ke hadapan walaupun kita hanya tukar tempat (dalam carta liga) dengan Penang. Bagi saya, kita masih lagi ada peluang untuk berada dalam top 8,” katanya tanpa menghuraikan bagaimana sasaran itu mahu dicapainya.
Jurulatih itu yang memaklumkan bakal kehilangan khidmat pemain sayap lincah, Lee Tae-min, untuk sekurang-kurangnya tiga minggu kerana kecederaan pergelangan kaki, berharap pengurusan Perak FC akan mempertimbangkan untuk membuat penggantian pemain import.
“Dalam keadaan terkini ini, perubahan harus dilakukan. Saya tak pegang bajet sebab saya hanya boleh menyampaikan hasrat pasukan untuk melihat segala kelemahan (yang ada dalam pasukan) untuk dikurangkan. Seandainya kita memiliki lapan pemain import hari ini, dengan keputusan yang sedia ada, bagi saya ia satu pelaburan yang kurang memberikan impak. Kita perlu melihat kembali pemain yang kita ada ketika ini.
“Apa yang dipamerkan – tidak pada keseluruhan pemain – ada pemain yang betul-betul beri komitmen kepada pasukan. Sesetengahnya seolah-olah tidak berada dalam permainan, bukan penumpang tapi ke arah itu,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram