BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
“LAYTH Kharoub merapatkan kedudukan untuk Kelantan Darul Naim, setidak-tidaknya ia mengukir senyuman Park Jae-hong untuk menembusi gawang Johor Darul Ta’zim,” kata pengulas siaran langsung Astro Arena ketika pasukan Pantai Timur itu merapatkan kedudukan kepada 1-4 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, malam Ahad lalu.
Ulang tayang gol pada minit ke-65 itu menunjukkan bantuan jaringan pemain import baharu, Washington Brandao yang menanduk ke depan kotak penalti tuan rumah.
Mengutip hantaran itu, Layth masih berupaya menangkis asakan Matthew Davies dan Feroz Baharuddin di kiri dan kanannya sebelum menguis rendah menewaskan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed.
BACA LAGI: 'Terima kasih TMJ', aksi cemerlang Haziq Nadzli buat fans Perak tersentuh
BACA LAGI: Milunovic wira tidak disangka-sangka akhiri kebuntuan Perak FC di tempat sendiri
“Kami meraikannya di tepi padang biarpun ketinggalan empat gol sebelum itu. Kepada kami, jaringan tetap jaringan yang perlu diraikan dan memang kami semua gembira dapat jaringkan gol lawan JDT.
“Lagipun, kami hanya pasukan kedua selepas Negeri Sembilan FC yang berjaya lakukannya di Stadium Sultan Ibrahim musim ini,” kongsi penolong ketua jurulatih KDN FC, Rezal Zambery Yahya, dengan Bola Pegun sambil merujuk kepada Sri Pahang FC (0-3), Terengganu FC (0-4), Kedah FC (0-3, Piala FA), Kedah FC (0-6) dan Penang FC (0-5) yang semuanya pulang dengan tangan kosong.
Layth Kharoub menjaringkan gol tunggal KDN FC ketika menentang JDT.
Gol tunggal itu mungkin dilihat ramai sebagai tidak memberi banyak makna kerana KDN FC kesudahannya dibelasah 6-1 oleh JDT yang meraih kemenangan kesembilan daripada 10 perlawanan, satu-satunya pertemuan yang mereka keciciran mata ialah ketika seri 1-1 dengan PDRM FC di Selayang pada 31 Julai lalu.
Namun, bagi Rezal, ia mempunyai signifikan tersendiri. Pertama, ia hanya jaringan kelima pasukannya musim ini, kali terakhir diraih Syahir Abdul Rashid dalam perlawanan yang mereka tewas 1-3 kepada Perak FC di Kota Bharu pada 26 Julai lalu dan kemudian buntu jaringan dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Kedua, ia membabitkan gandingan Washington dan Layth dengan dua daripada tiga pemain yang direkrut sempena jendela perpindahan kedua yang berakhir Ahad lalu selain Aung Kaung Mann, 26, yang didapatkan dari kelab Liga Thailand, Nakhonratchasima Mazda FC, untuk mengasah lagi jentera serangan.
Ketiga, dengan semua rekrut baharu sudah diuji keserasian mereka dalam perlawanan dengan JDT, KDN FC berharap untuk melancarkan kembali cabaran dalam pusingan kedua Liga Super 2024/25 yang akan bermula dengan pusingan ke-13 perlawanan pada 18 Oktober nanti.
Berbaki satu perlawanan dalam pusingan pertama ini, KDN FC yang baru meraih tiga mata untuk menghuni dasar liga, mahu menutupnya dengan nota kemenangan apabila berkunjung ke gelanggang Negeri Sembilan FC yang cuma setakuk di atas mereka dengan lima mata pada pertemuan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.
Rezal Zambery Yahya merupakan ketua jurulatih KDN FC.
“Kami menyasarkan pertemuan dengan Negeri Sembilan sebagai titik permulaan untuk mendapatkan angin perubahan kedua buat pasukan. Ini satu perlawanan yang kami akan berhabis-habisan untuk mengutip tiga mata.
“Dengan berbaki 14 perlawanan lagi dalam liga yang masih panjang (sehingga April tahun depan), hasrat kami ialah menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk memperbaiki kedudukan pasukan,” katanya yang mengakui dua tonggak import, Oday Kharoub dan Michal Jerabek sengaja tidak disenaraikan dalam perlawanan dengan JDT.
Ini bagi mengelakkan layangan kad ke atas kedua-duanya yang akan mengakibatkan penggantungan dalam aksi berdepan Negeri Sembilan.
Rezal menyandarkan kepercayaan kepada tiga rekrut import berkenaan selain kepulangan tiga bakat tempatan iaitu penjaga gol Fikri Che Soh, pemain tengah Muhaimin Izzudin Asri dan pemain sayap Hakimi Abdullah yang diyakini mampu mengubah wajah pasukan yang terdahulu tewas sembilan daripada 10 perlawanannya.
Washington, penyerang tegap dengan ketinggian 1.83 meter yang berpengalaman dua tahun dalam Liga Malaysia bersama PJ City FC pada musim 2019 dan 2020 diharap dapat menambah perisa di barisan serangan di mana dua import terdahulu, Chadrack Muzungu dan Valdumar Augusto Te, gagal memikul peranan itu sebelumnya.
“Kita dapat lihat dalam perlawanan dengan JDT, kemasukan Washington mampu menyuntik kesegaran buat pasukan.
“Dengan kelebihan fizikalnya, dia bakal jadi aset dalam situasi bola mati. Lebih daripada itu, dia boleh menyimpan bola sambil menanti bantuan rakan sepasukan dan tarikan terhadapnya kepada pertahanan lawan boleh membuka ruang untuk kami mencari jaringan,” katanya.
Kaung Mann, penyerang kebangsaan Myanmar turut ditagih sumbangan pentingnya. Trio serangan yang akan dibentuknya bersama Washington dan Layth Kharoub diyakini Rezal hanya memerlukan sedikit masa untuk menyerlahkan keserasian dan menjadi ancaman kepada lawan.
“Pemain-pemain ini kami harap dapat menampung kekurangan dalam pasukan sebelum ini.
Dari sudut pandang seorang jurulatih, saya boleh berasa optimis bahawa peningkatan yang diharap-harapkan akan dapat dicapai.
“Sekurang-kurangnya barisan kejurulatihan diketuai Jae-hong percaya sasaran untuk menamatkan musim ini dalam kelompok pertengahan liga bukan sesuatu yang di luar jangkauan,” kata Rezal lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram