Macam duri dalam daging, hadirnya 2 bekas bintang kini bersama Kedah pasti bikin Tok Gajah sesak nafas


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Lee Tuck pernah menyertai Kedah pada 2017-2020 dan menyarung semula jersi tersebut pada musim 2022. — Facebook/SriPahang

MUSUH lama, Pahang dan Kedah akan berada dalam misi untuk mengatasi satu sama lain di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Sabtu malam bagi menyaingi pencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Kedua-dua pasukan telah memulakan musim ini dengan keputusan yang memberangsangkan dengan jurulatih baharu Fandi Ahmad mengubah nasib Pahang dan bekas jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain melakukan perkara yang sama untuk Kedah.

Selepas lima perlawanan, Kedah mempunyai 12 mata dengan empat kemenangan dan satu kekalahan, dan Pahang tidak tewas selepas mencatat dua kemenangan dan tiga seri untuk memperoleh sembilan mata.

Kedua-dua jurulatih saling menghormati antara satu sama lain tetapi Fandi lebih mendambakan kemenangan kerana Sri Pahang mempunyai kelebihan di tempat sendiri dan akan optimis berikutan kembalinya penyerang, Lucas Silva daripada kecederaan.

Peranan Silva dan ketua penyerang Kpah Sherman akan menjadi penting untuk memastikan Pahang meneruskan salah satu permulaan terbaik mereka ke Liga Super dalam tempoh lebih lima tahun.

Fandi berkata, kehadiran bekas pemain mereka Lee Tuck dan Manuel Hidalgo dalam barisan Kedah tidak boleh dipandang ringan.

WhatsApp Image 2023-04-01 at 14.34.19

Hidalgo sebelum ini menyarung jersi Sri Pahang selama dua musim. — Facebook/SriPahang

“Kami bermain di laman sendiri dan pemain perlu meningkatkan prestasi mereka untuk memastikan kami menamatkan aksi dengan tiga mata.

“Mereka mempunyai dua bekas pemain Sri Pahang dan kami perlu berwaspada dengan bahaya daripada mereka. Kami perlu agresif dalam menyerang untuk meletakkan mereka di bawah tekanan,” katanya.

Fandi turut kesal dengan kecenderungan anak-anak buahnya yang melepaskan kawalan mereka selepas bermula dengan baik pada separuh masa pertama.

Masalah itu perlu diselesaikan kerana Kedah mampu menghukum skuad Tok Gajah pada aksi keenam Liga Super itu.

Sementara itu, Nafuzi berkata, Pahang telah membuat permulaan yang mantap dan sukar untuk ditewaskan di laman mereka sendiri.

“Kami mahu mencuba dan memperoleh tiga mata tetapi ia akan menjadi sukar. Pahang sedang berada di tahap tinggi dan sangat yakin pada masa ini.

"Pemain kami perlu beraksi habis-habisan kerana kami bermain di tempat lawan menentang pasukan yang masih belum tewas dalam liga,” kata pengendali muda itu.

Dalam perlawanan lain malam ini, Negeri Sembilan berdepan Kelantan FC di Seremban manakala Kuching City FC akan melayan kunjungan PDRM FC yang turut membuat permulaan memberangsangkan musim ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram