PELUANG mara ke pusingan akhir temasya Sukan Olimpik Paris 2024 mungkin sudah berkecai namun pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah masih berkesempatan menghadiahkan pingat buat Malaysia.
Duo badminton negara itu terpaksa akur apabila tewas dengan keputusan tipis 12-21, 21-18, 15-21 dalam tempoh 78 minit kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak menurunkan motivasi mereka, malah lebih bersemangat untuk membawa sekurang-kurangnya pingat gangsa buat Malaysia menjelang perlawanan mencari tempat ketiga pada Sabtu.
BACA LAGI: Misi emas Olimpik makin menyala, Pearly Tan-M. Thinaah tumpaskan pasangan Korea ke separuh akhir
BACA LAGI: Chong Wei jadi 'ramuan' kemenangan Pearly-Thinaah
Pearly menganggap sokongan daripada orang tersayang dan seluruh rakyat Malaysia menjadi faktor terbesar untuk mereka terus memberikan perlawanan terbaik dan memberi saingan sengit kepada Qing Chen-Yi Fan.
“Sebab ada semua Malaysian di belakang kita, kita tak kisah apa. Walaupun tak leading tapi kami lawan sahaja. Kita tak tahu apa berlaku, yang tahu kita tak nak putus asa.
"Kita mau lawan untuk semua orang yang sayang kita," katanya memetik video yang dimuat naik oleh wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.
Pearly (depan) dan Thinaah sudah memberikan segala-galanya untuk mara ke pusingan final. — OCM
Dalam pada itu, pasangannya pula iaitu Thinaah juga berazam untuk memberikan sepenuhnya pada Sabtu bagi memastikan mereka membalas kembali kepercayaan yang sudah diberikan rakyat Malaysia.
“Kami sentiasa percaya sesama diri sendiri sejak hari pertama. Ada satu perlawanan lagi esok (Sabtu), macam biasa kami akan beri 100 peratus nanti," jelasnya.
Pearly-Thinaah kini menantikan keputusan perlawanan antara satu lagi beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning menentang Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun bagi mengetahui siapakah lawan mereka pada aksi penentuan pingat gangsa, pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram