IMPIAN pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk memburu pingat emas Sukan Olimpik mungkin sudah berakhir apabila terkandas di peringkat separuh akhir di Adidas Arena, Port de la Chapelle, Paris, Perancis pada Jumaat.
Namun begitu, mereka yang sudah mencipta sejarah sebagai pasangan beregu wanita pertama negara yang sampai ke peringkat separuh akhir temasya Sukan Olimpik.
Melihat kepada persembahan baik pasangan itu, jelas sekali gandingan Pearly-Thinaah sudah berubah menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.
BACA LAGI: Bulu tangkis asyik meleret di jaring, Pearly Tan-M. Thinaah hanya kalah nasib
Legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj berkata, pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak perlu memisahkan mereka lagi dalam masa terdekat.
Sebelum ini, gandingan itu dikatakan berdepan masalah dari segi komunikasi tetapi sekarang mereka semakin baik.
Gandingan Pearly-Thinaah berpotensi memenangi pingat gangsa.
"Yang penting dalam badminton adalah mereka menikmati permainan tersebut. Jika dilihat pada Pearly-Thinaah, mereka bercakap antara satu sama lain, mereka ketawa dan senyum.
"Bila perkara itu terjadi, itu bermakna mereka sedang bermain badminton. Mereka mesti menikmati permainan," kata James kepada Majoriti.
James berkata demikian kerana sebelum ini Pearly dan Thinaah hampir saja dipisahkan kerana dikhabar tidak berkomunikasi sesama sendiri.
Namun sekarang ini, persembahan mereka semakin baik dan James berpendapat BAM tidak perlulah memisahkan mereka.
Keserasian antara dua pemain itu sebagai satu pegawai beregu adalah disebabkan tindakan BAM sendiri yang membawa masuk pakar psikologi sempena Sukan Olimpik kali ini.
"Saya masih ingat dulu, mereka hampir dipisahkan kerana tidak berkomunikasi. Tapi sekarang, anda nampak perbezaan sudah berlaku, apabila pakar psikologi mula menyertai pasukan.
"Kalau latihan fizikal dan kecergasan pemain ada jurulatih tersendiri, kenapa untuk psikologi tak ada dari dulu?
"Sudah lama saya minta mereka bawa masuk pakar psikologi, sejak dua tahun lalu. Tapi bila nak dekat Sukan Olimpik baru nak bawa masuk.
"Jadi, BAM perlu jaga elok-elok pakar psikologi ni. Banyak kali saya sudah katakan, kita perlu seorang pakar psikologi dalam pasukan," ujar James.
Dalam penentuan pingat gangsa, pasangan kebanggaan negara itu akan menentang wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida pada Sabtu (pukul 9 malam waktu Malaysia).— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram