Ibu bapa 'tunjuk pandai' lebih daripada jurulatih rencatkan potensi atlet MSSM


  • Podium
  • Ahad, 06 Okt 2024

Atlet di peringkat sekolah mudah berasa tekanan jika terlalu menerima desakan daripada ibu bapa. — Gambar hiasan

SOKONGAN dan komitmen ibu bapa menghantar anak ke latihan-latihan sukan di sekolah sememangnya dapat menyuburkan minat si cilik menyertai acara tertentu.

Bahkan, ada sesetengah ibu bapa yang sanggup mendaftarkan anak masing-masing ke akademi sedia ada demi membolehkan anak mereka mendapat latihan tambahan daripada profesional.

Namun, tidak dapat dinafikan kadang kala sokongan yang seharusnya membawa aura positif, boleh bertukar sebaliknya akibat campur tangan berlebihan ibu bapa sehingga akhirnya merencatkan rancangan guru atau jurulatih di peringkat sekolah.

Senario ibu bapa atau penjaga masuk campur dalam urusan cikgu melatih anak-anak membentuk mereka menjadi atlet muda rupanya turut merebak di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

BACA LAGI: Penat tunggu status Wan Kuzain, kehadiran ‘ubi muda’ Selangor, JDT pengubat hati ekor HM jumpa New Zealand

BACA LAGI: Lupakan Mats Deijl, lebih baik Pau Marti pantau 3 bek kanan 'underrated' Liga Super

WhatsApp Image 2024-10-05 at 22.27.28

Atlet di peringkat kejohanan MSSM berpotensi menjadi atlet kebangsaan jika konsisten menampilkan persembahan cemerlang.

Misalnya baru-baru ini, Majoriti menerima laporan bahawa terdapat segelintir pendidik menghadapi cabaran dalam mengembangkan potensi pelajar yang bergelar atlet akibat campur tangan berlebihan daripada ibu bapa.

Menurut sumber, ibu bapa yang terlalu berasa lebih mengenali kemampuan anak menjadi faktor seseorang jurulatih itu sukar membentuk murid mereka menjadi lebih baik dalam sesuatu sukan.

Situasi itu katanya, juga pernah berlaku ke atas beberapa pelajar di institusi pendidikan di Malaysia.

Memberi contoh kejadian di sebuah sekolah berpangkalan di Borneo tanah air, sumber itu mendedahkan, terdapat ibu bapa yang mendakwa mereka adalah individu pertama yang menemukan bakat anak dan merupakan individu terawal melatih.

"Ada kes, ibu bapa terlalu masuk campur dalam latihan anak-anak mereka sehingga menganggu proses latihan pelajar berkenaan untuk mewakili beberapa acara.

"Ibu bapa itu mendakwa mereka yang melatih anak-anak dari kecil sehingga ada yang memutuskan hubungan dengan jurulatih apabila jurulatih itu tidak memuaskan hati ibu bapa," katanya kepada Majoriti.

Naratif berkenaan bukan hanya berlaku atas faktor ibu bapa terlalu yakin dengan kemampuan anak, tapi kes penjaga masuk campur isu kejurulatihan juga boleh berlaku apabila sikap asyik menekan pelajar dan akhirnya mengganggu fokus dan motivasi atlet muda.

Atlet yang seharusnya menikmati proses latihan dan pertandingan kini berdepan dengan harapan yang tidak realistik dek terlalu memikirkan impian orang tua mereka.

Ini kerana bagi kebanyakan ibu bapa, kalungan emas adalah simbol kejayaan mereka dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.

“Peranan ibu bapa adalah penting, tetapi mereka perlu memahami bahawa sokongan harus diberi tanpa tekanan. Anak-anak perlu diberi ruang untuk berkembang dengan cara mereka sendiri,” kata sumber berkenaan.

Dengan situasi campur tangan dan sikap tunjuk sesetengah ibu bapa ini, jangan pelik jika pelajar yang dulunya berpotensi menjadi atlet kebangsaan akhirnya terkubur begitu sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram