Penyakit zaman Tomi berulang, terlalu santai bila ‘leading’ bikin TFC putih mata ‘digari’ PDRM


  • Podium
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Sebahagian aksi menarik antara pemain Sang Penyu (jersi putih) yang cuba merampas bola daripada The Cops. — Facebook/MFL

TERENGGANU FC terpaksa menelan pahit apabila sekadar meraih keputusan seri 1-1 berdepan PDRM FC saingan Liga Super 2024 pada Jumaat.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu itu menyaksikan kedua-dua pasukan seimbang apabila saling berbalas serangan.

Bagaimanapun, tuah memihak kepada tuan rumah apabila memasuki minit ke-40 perlawanan, mereka menarik nafas lega selepas penyerang import El Salvador, Nelson Bonilla membuka akaun jaringan sekali gus membantu Terengganu mendahului setakat babak pertama.

BACA LAGI: Kembali perkuat Sang Penyu, Shahrul Nizam ada tugas berat 'gari' Ifedayo

BACA LAGI: 'Saya pengurus yang bodoh', reaksi Slot cukup berbeza berbanding Klopp

WhatsApp Image 2024-10-04 at 23.08.11 (1)

Penyerang import Sang Penyu, Nelson Bonilla muncul watak penting apabila berjaya mencetaks satu gol buat TFC. — Facebook/MFL

Gol itu terhasil selepas penjaga gol PDRM FC, Bryan See menepis percubaan Azam Azmi Murad yang kemudiannya jatuh di hadapan Nelson untuk meletakkan Terengganu FC di hadapan.

Persembahan ditampilkan juga membuatkan ramai penyokong Sang Penyu mula merestui kehadiran pemangku jurulatih, Badrul Afzan yang dilihat berhasil membimbing skuad Peteh.

Bersambung babak kedua, percaturan Ketua Jurulatih PDRM FC, P. Maniam nyata membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Chidi Osuchukwu pada minit ke-53.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Sang Penyu dilihat berhempas-pulas untuk mendapatkan jaringan namun ketumpulan di barisan hadapan menyaksikan pasukan itu bergelut untuk mendapatkan gol.

Meskipun memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri namun skuad Peteh dilihat gagal memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin.

Dalam babak kedua turut menyaksikan benteng pertahanan The Cops cemerlang dalam mengekang jentera serangan Sang Penyu daripada membolosi pintu gawang mereka yang dijaga rapi oleh Bryan See.

Jentera serangan Sang Penyu yang dibarisi oleh Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Manuel Ott nyata tidak berjaya membantu Terengganu meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Dalam pada itu, ramai penyokong sepertinya tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampikan oleh Sang Penyu dan menganggap 'penyakit' sama berulang kembali.

"Terlampau santai bila tengah leading, benda sama berulang kali dalam lima perlawanan sebelum ini, tiada perubahan langsung," kata Muhammad Faezz.

"Second half slow pula nak tengok, game play masih zaman Tomi," kata Mahdi Abdul Ghani.

"Tiada perubahan yang ketara dengan perlawanan sebelum ini, banyak mistake dan keputusan kurang tepat sering dibuat, seperti biasa masalah sama di barisan hadapan, terlalu tumpul walaupun ada peluang," kata Wan.

Susulan keputusan seri itu, Terenggan FC kini merekodkan enam perlawanan liga tanpa sebarang kemenangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram