Pernah jadi prospek hangat Liga Super, 2 bintang sayap mula pudar bersama Tok Gajah


  • Podium
  • Sabtu, 05 Okt 2024

Saravanan (kanan) dan Sean hanya tampil lima kali daripada 12 perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini bersama Sri Pahang.

TIDAK seperti pemain Liga Super yang lain, dua tonggak Sri Pahang FC, T. Saravanan dan Sean Selvaraj boleh dikatakan semakin pudar dalam kempen musim ini.

Dua tonggak yang dulunya merupakan prospek negara dilihat kurang mendapat tempat sebagai kesebelasan utama skuad Tok Gajah.

Dimanakah silapnya? Hanya Fandi Ahmad yang mempunyai jawapan tersebut.

BACA LAGI: Penyakit zaman Tomi berulang, terlalu santai bila ‘leading’ bikin TFC putih mata ‘digari’ PDRM

BACA LAGI: 'Saya pengurus yang bodoh', reaksi Slot cukup berbeza berbanding Klopp

WhatsApp Image 2024-10-04 at 23.54.03

Pemain Sri Pahang, Saravanan dan Sean yang dilihat semakin hilang dari radar bola sepak tanah air.

Menerusi perkongsian daripada Otai Sukan di laman Facebook, akaun itu mendedahkan punca utama kedua-dua pemain itu bergelut untuk mendapatkan minit permainan.

"Salah pilih pasukan atau berada di bawah jurulatih yang salah? Saravanan dan Sean Selvaraj, dua pemain yang menjanjikan masa depan cerah, kini sudah pun hilang dari radar bola sepak tanah air setelah menyertai Sri Pahang.

"Sebelum menyertai Pahang, dua pemain ini rancak mencipta nama. Sean menyerlah bersama Selangor FC sebelum meneruskan bisa bersama Negeri Sembilan FC, manakala Saravanan pula adalah prospek hangat Kuala Lumpur City FC yang juga tonggak skuad Bawah 23 Kebangsaan," tulisnya.

Pada jendela perpindahan lalu, kedua-dua pemain itu disambar skuad Tok Gajah yang bercita-cita memperkuatkan barisan serangan di bahagian sayap meskipun sudah menyambar khidmat Manuel Hidalgo.

Bagaimanapun, isu pengurusan yang melanda mematahkan kesemua perancangan dibuat Fandi sebagai pengendali dengan mereka kini semakin sukar untuk mengulangi kedudukan di tangga kelima Liga Super musim lalu.

Situasi itu menyebabkan kedua-dua rekrut menarik berkenaan semakin dilupakan dengan skuad Tok Gajah kian menjadi pasukan belasahan setakat pertengahan musim 2024/25.

"Sean dan Saravanan sebenarnya boleh menjadikan Pahang sebagai batu loncatan untuk pecah masuk ke skuad kebangsaan, tetapi sayang seribu kali sayang, apabila senarai call up diumumkan, hanya nama Sergio Aguero yang sangkut itupun hanya dalam senarai menunggu.

"Ketika Pahang mengumumkan senarai pemain bagi musim 2024, mereka dilihat mempunyai barisan pemain lokal paling padu. Barisan serangan sahaja sudah cukup bikin pasukan lain gerun.

"Namun, sudahnya Fandi Ahmad berterusan mempertaruhkan Kpah Sherman sebagai penyerang tunggal, kering idea sehingga tidak berani memberi peluang kepada pemain lain untuk membantu atau mungkin tidak pandai menggunakan material yang tersedia di depan mata," tulis pengguna Facebook itu lagi.

Hujah itu turut dikuatkan jika melihat kepada rekod Transfermarkt, Saravanan dan Sean hanya tampil lima kali daripada 12 perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram