
JURULATIH Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat pertama kalinya akan diberikan kontrak empat tahun dalam usaha meminimumkan perubahan dalam pasukan badminton negara.
Pengarah kejurulatihan kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, langkah itu diambil untuk mengelakkan perubahan berterusan dalam persiapan untuk ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
BAM kini turut sedang mencari mengambil sekurang-kurangnya dua jurulatih baharu untuk mengetuai skuad perseorangan dan beregu wanita sementara lantikan baharu bersama jurulatih lain akan diberikan kontrak sehingga 2028.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Semua jurulatih akan diberi kontrak empat tahun sehingga 2028. Ini adalah sebahagian daripada perancangan kami menuju ke arah Sukan Olimpik Los Angeles 2028," kata Rexy.
Sebelum ini, BAM memberikan kontrak maksimum dua tahun dengan pilihan untuk memperbaharui tambahan dua tahun.
Rexy turut menetapkan tiga KPI utama perlu dicapai dalam tempoh tersebut.
Disebabkan oleh masa yang terhad kepada jurulatih dan perubahan berterusan dalam struktur kejurulatihan dan latihan oleh BAM pada masa lalu, ia dilihat menjadi faktor menghalang pertumbuhan pemain.
Dalam pada itu, antara indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Rexy adalah pertama melahirkan tiga atau empat pemain perseorangan lelaki mampu meraih mata pada Pusingan Akhir Piala Thomas 2026.
Kedua, menghasilkan pemenang dalam perseorangan lelaki dalam kejohanan World Tour Super 500 dan ke atas
Ketiga, sekurang-kurangnya melahirkan seorang pemain atau pasangan daripada perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran yang layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028. — The Star/R. KIRUBASHINI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram