Tiga mata di ACL2 ibarat tak bermakna, ramai mula bosan taktikal pasif Nidzam Jamil


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Skuad Gergasi Merah bergelut untuk menjaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan itu. — Facebook/Selangor FC

SKUAD Gergasi Merah meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 apabila menundukkan kelab Filipina, Cebu FC dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan di Stadium MBPJ, Selangor pada Jumaat.

Gol pemain tengah, Yohandry Orozco yang merembat masuk umpanan Ronnie Fernandez menyaksikan tuan rumah mencatatkan kemenangan 1-0 dengan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan,

Usaha yang membuahkan hasil tersebut sudah tentu membawa kelegaan buat pengendali, Nidzam Jamil apabila anak-anak buahnya mengawal permainan dengan beberapa hantaran pendek dilakukan.

BACA LAGI: Hanya Haykal Danish paling menyerlah, skuad B-19 digesa serap semangat 'winning mentality'

BACA LAGI: Skuad footgolf negara 'sapu bersih' Piala Asia, layak ke final 3 kategori

461943009_1062201862578208_7075722391479395338_n

Orozco menjadi watak utama buat skuad Gergasi Merah di laman sendiri. Facebook/Selangor FC

Tidak cukup dengan itu, skuad Gergasi Merah juga mempamerkan aksi dominan apabila kerap menghalang serangan Cebu FC dengan penjaga gol tuan rumah, Azim Al-Amin hanya dicabar beberapa kali.

Bagaimanapun, bagi penyokong kelab Lembah Klang tersebut, persembahan itu masih belum cukup memuaskan sekiranya Selangor FC memiliki cita-cita besar di pentas Asia.

Meskipun beberapa peluang keemasan dihasilkan, jentera serangan pasukan kerap mensia-siakan peluang untuk memburu lebih banyak jaringan yang penting untuk kedudukan mereka dalam peringkat kumpulan.

Tumpuan sudah tentu diberikan terhadap Nidzam yang merupakan ketua jurulatih dengan pendekatan pasif diterapkan, lebih-lebih lagi pada babak kedua apabila Selangor FC seakan-akan buntu dalam merencanakan serangan.

461966926_1062201699244891_8764885659914082908_n

Ronnie (kanan) beberapa kali melepaskan peluang keemasan yang terhidang. — Facebook/Selangor FC

"Macam ini punya taktikal, lebih baik kita balik awal. Gaya permainan yang tidak bernafsu. Pengawalan bola sudah dibuat dengan baik, tetapi di bahagian bawah sahaja dan kerap kehilangan bola ketika menyerang," kata Ridzuan Isa.

"Taktikal apa yang awak pakai ni Nidzam? Pening saya melihat gaya dan cara permainan Selangor FC pada babak kedua ini. Kalau Cebu FC dapat gol tadi, memang menimbulkan kemarahan sahaja," kata Fareez Ramli.

"Pada masa pertama, nampak gaya permainan menarik. Tetapi, memasuki babak kedua, rasa nak marah sahaja. Tiada nafsu untuk jaringkan gol dan hanya kerap menyimpan bola di tempat sendiri," kata Mohd Fared Kandar.

Meskipun menerima cemuhan, Nidzam sudah tentu dapat menarik nafas lega apabila meraih kemenangan dalam perlawanan kedua ACL2 musim ini yang menyaksikan mereka kini berada di kedudukan kedua Kumpulan H.

Selepas ini, skuad Gergasi Merah akan berehat untuk kira-kira dua minggu sebelum kembali mengharungi aksi Liga Super berdepan PDRM FC pada 19 Oktober sebelum menerima kunjungan kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors empat hari kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram