SKUAD Bawah 19 Tahun (B-19) Kebangsaan terlepas peluang meraih tiga mata selepas terikat 0-0 menentang Korea Utara pada perlawanan kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) pada Isnin.
Perlawanan di Stadium Republican Central, Dushanbe menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido itu terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Meskipun Korea Utara beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanannya, Jong Un Hyok dilayangkan kad merah kerana dikesan mengasari Haykal Danish Mohd Haizon, skuad muda negara dilihat agak sukar untuk menembusi kawalan pasukan lawan dalam usaha mencari gol kemenangan.
BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Keberanian tukar tekong utama tuai hasil, Perak Bison mula langkah kanan
Harimau Muda B-19 kendalian Juan Torres Garrido. — Facebook/FAM
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai prestasi semasa skuad kendalian Garrido itu, penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berharap agar skuad muda kebangsaan tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut.
"Baru dua match, jangan cepat berpuas hati walaupun menang dengan Oman (2-1) tempoh hari dan seri bertemu Korea Utara.
"Jangan memasang angan-angan terlalu tinggi, skuad muda kebangsaan masih banyak kelemahan kerana jika melihat aksi bertemu Korea Utara, mereka tidak gunakan kelebihan bermain dengan 10 pemain dengan baik.
"Pasukan muda kebangsaan masih tumpul dengan kurangnya idea untuk mendapatkan jaringan.
"Itulah kelemahan utama yang ketara selain tidak cukup dengan penerapan semangat untuk berubah kepada 'winning mentality'," katanya kepada Majoriti.
Haykal Danish membantu Malaysia meraih kemenangan dalam aksi bertemu Oman. — Facebook/FAM
Bukan itu sahaja, Pekan menyeru agar skuad B-19 Tahun kebangsaan itu mengubah mentaliti ke arah lebih positif agar maruah negara tidak dicemarkan oleh keputusan ketika bertemu Tajikistan.
"Pemain perlu mengubah mindset dan berubah keyakinan, mesti tonjolkan kegarangan dan kehebatan dalam melakukan gerakan yang lebih positif untuk mendapatkan jaringan.
"Sekiranya masih tidak ada perubahan sudah pasti Tajikistan akan mencemar imej dan rekod kegagalan skuad muda kebangsaan," ujarnya lagi.
Begitupun, Pekan masih menaruh harapan kepada pemain tengah skuad B-19, Haykal Danish yang dilihatnya sebagai paling menonjol dalam dua aksi sebelum ini.
Tambahnya lagi, jentera serangan skuad kebangsaan itu perlu dipertajamkan lagi agar dapat meraih keputusan positif bertemu Tajikistan nanti.
"Saya cuma nampak Haykal Danish saja yang lebih menonjol, barisan hadapan yang lain belum begitu menyerlah.
"Malaysia perlu menang ke atas Tajikistan jika ingin berpeluang ke pusingan akhir di China tahun depan, jika tewas saya rasakan misi kita akan berakhir," katanya.
Anak-anak buah Garrido dijadualkan bertemu tuan rumah Tajikistan pada aksi kedua di venue sama pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram