BERITA baik diterima Selangor FC baru-baru ini apabila mereka melonjak ke tangga ke-110 dalam carta kedudukan kelab sekitar Asia dengan ia adalah satu perubahan positif.
Ini kerana sekiranya hendak dibandingkan dengan tujuh hari lalu, skuad Gergasi Merah berada di tangga ke-199 yang pastinya kedudukan tersebut sukar diterima.
Meskipun memegang status pasukan kedua terbaik dalam Liga Super, kekurangan perlawanan di pentas Asia menyebabkan mereka sukar mendaki anak tangga berbanding pasukan lain di benua tersebut.
BACA LAGI: Hanya Haykal Danish paling menyerlah, skuad B-19 digesa serap semangat 'winning mentality'
BACA LAGI: Tony Fernandes ada 'wealth & power' untuk pimpin FAM — Pekan Ramli
Skuad Gergasi Merah mendaki 89 tangga untuk berada di kedudukan lebih baik. — Facebook/Selangor FC
Tetapi, selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika berdepan Muangthong United pada Liga Juara-Juara AFC (ACL)2, Selangor FC berpeluang melonjak ke kedudukan lebih baik.
Bagaimanapun, melihat kepada carta dikeluarkan Opta Analyst, kelab Lembah Klang tersebut masih jauh ketinggalan berbanding Johor Darul Ta'zim (JDT) yang merupakan kelab keenam terbaik di Asia.
Kedudukan itu boleh dicapai kerana skuad Harimau Selatan sudah memegang takhta Liga Super untuk 10 tahun berturut-turut selain kerap memberi saingan setiap kali melangkah ke pertandingan peringkat benua.
Situasi berkenaan menceritakan terdapat jurang besar antara kedua-dua pasukan itu, baik di luar mahupun di dalam padang dengan keunggulan JDT tidak boleh dipertikaikan lagi.
Namun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, kenaikan kedua-dua pasukan berkenaan perlu diterima secara positif kerana ia mendatangkan manfaat secara menyeluruh.
Pekan menganggap perubahan itu satu perkara cukup baik bagi bola sepak negara.
Menurutnya, kelayakan konsisten JDT dalam ACL Elite boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang diharapkan dapat menaikkan lagi semangat dan kesungguhan kelab Liga Super yang lain.
"Ini adalah satu perkembangan yang baik di peringkat kelab dan kalau boleh, diharapkan pasukan lain dapat memberikan persembahan terbaik jika beraksi di peringkat Asia.
"Ini kerana sekiranya pasukan kita berada di tahap tertinggi, ini akan mendorong semangat buat pemain di kelab itu serta kepada penyokong," katanya kepada Majoriti.
Di peringkat global pula, harapan JDT untuk berada di kelompok lebih baik masih memerlukan usaha pelbagai pihak kerana mereka berada di tangga ke-249 dunia.
Kedudukan Harimau Malaya masih belum cukup memuaskan. — Facebook/FAM
Kelab Selatan tanah air itu diikuti Selangor FC di kedudukan ke-1124 sementara Terengganu FC menjadi kelab Liga Super ketiga terbaik dengan mereka kini berada di kedudukan ke-1668.
Persembahan cemerlang secara konsisten sekiranya layak beraksi di Asia merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki kedudukan itu di samping membuka ruang kepada lebih banyak kelab tempatan mendapatkan slot ke pertandingan peringkat benua.
Dalam pada itu, Pekan turut mengharapkan prestasi cemerlang itu dapat diterjemahkan ke dalam skuad kebangsaan yang masih jauh untuk mencuri tumpuan di mata dunia.
"Kita juga mengharapkan ia dapat membantu menambah baik kualiti Harimau Malaya. Kita tidak boleh berbangga apabila kelab tempatan beraksi dengan baik di pentas Asia, namun tiada perubahan buat skuad kebangsaan," katanya.
Pasukan negara ketika ini berada di kedudukan ke-132 dunia berdasarkan kemas kini daripada FIFA berikutan kejayaan dalam kempen Pestabola Merdeka dengan dua kemenangan direkodkan.
Mereka masih berpeluang memperbaiki ranking berkenaan dengan terdapat satu perlawanan persahabatan dijadualkan pada 14 Oktober menentang New Zealand di tempat lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram