Mickey, Kalamullah diharap jadi tonggak utama Selangor raih 3 mata berdepan Cebu


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Kalamullah menyertai Gergasi Merah pada jendela perpindahan Ogos lalu. — Facebook/SelangorFC

BERMAIN di laman sendiri pastinya menjadi modal utama Selangor FC untuk meraih tiga mata berharga dalam pertemuan aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat Kelana Jaya, Selangor pada Khamis.

Masakan tidak, pasukan Lembah Klang berkenaan merekodkan kemenangan bersih dalam sembilan perlawanan di rumah sendiri dan catatan positif itu pastinya mahu diteruskan dalam aksi menentang pasukan bimbingan Mustafa Ati.

Dalam perlawanan sebelum ini, Gergasi Merah berjaya mengikat wakil kelab Thailand, Muangthong United dengan keputusan seri 1-1 menerusi jaringan Ronnie Fernandez minit ke-47 pada 19 September lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya dimasukkan jika perlu, Nidzam Jamil enggan ambil risiko tergesa-gesa turunkan Nikola Jambor

BACA LAGI: Arif Aiman mahu kekal lebih lama di JDT, percaya boleh jadi pemain lebih baik selain balas jasa TMJ

Kekecewaan hanya memungut satu mata pada perlawanan pertama itu juga pastinya menjadi motivasi besar untuk Gergasi Merah memberikan aksi cemerlang dalam perlawanan kedua ACL2 berkenaan.

Bagi memastikan sasaran meraih kemenangan pertama itu diperoleh, penyokong juga mempunyai pendapat peribadi apabila ingin menyaksikan penyerang sayap, Faisal Halim dan penjaga gol baharu iaitu Kalamullah Al-Hafiz.

Sejak kembali pulih pada Ogos lepas, Faisal masih belum mendapat peluang beraksi sebagai kesebelasan utama dan hanya diturunkan sebagai pemain gantian pada babak-babak akhir perlawanan.

Tidak pasti jika alasan belum mencapai prestasi terbaik menjadi faktor pemain berusia 26 tahun itu tidak diletakkan sebagai kesebelasan utama namun penyokong Gergasi Merah berpendapat peluang wajar diberikan.

Manakala, Kalamullah yang menyertai Gergasi Merah dari Kedah Darul Aman (KDA) FC pada jendela perpindahan kedua tempoh hari pula masih belum tampil dalam sebarang perlawanan bersama Selangor FC.

"Bagilah Kalamullah turun malam ini (Khamis), asyik turun penjaga gol lain sahaja," cadang penyokong Gergasi Merah, Hambali Ham.

"Nak menang turunkan Mickey (Faisal). Baru pemain ada semangat. Itu sahaja nak cakap. Selamat berjuang Selangor," tambah penyokong Selangor FC, Nenda Zek Zakia.

"Tolonglah bawa turun Mickey malam ini. 10 minit terakhir pun jadilah. Bagi dia semangat untuk naikkan prestasinya," komen penyokong Selangor, Saiful Redzuan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram