KETIKA pasukan lain sedang sibuk melakukan persiapan pra musim sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023 bermula, lain pula kejadian menimpa sebuah kelab yang difahamkan bakal kehilangan jurulatihnya.
Perkembangan berkenaan dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman X peribadinya yang memaklumkan bahawa pengendali itu sedang dalam perbincangan untuk menamatkan kontrak.
“Liga belum mula tapi difahamkan seorang jurulatih berprofil tinggi akan berpisah dengan kelabnya. Masih ada kontrak, jurulatih terbabit dalam perbincangan bersama kelab untuk penamatan kontrak,” memetik ciapan Zulhelmi pada Rabu.
Identiti kelab dan jurulatih berkenaan bagaimanapun masih belum didedahkan sehingga membuka pintu kepada para penyokong domestik meneka beberapa nama yang dirasakan sesuai dengan klu berkenaan.
BACA LAGI: 'Liga Super sunyi tanpa Kedah', keputusan FIB, MFL beri fans Hijau Kuning nafas baharu
Ada kemungkinan Nafuzi turut meninggalkan KDA FC seperti rakan baiknya, Joe Razi. — Facebook/KDAFC
Melihat pada ruangan komen di media sosial, nama pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, Fandi Ahmad (Sri Pahang) dan Datuk Ong Kim Swee yang baru sahaja memimpin Sabah dalam saingan Piala AFC antara nama disebut-sebut akan meninggalkan kelab mereka.
Jika melihat keadaan semasa, Nafuzi antara jurulatih yang berkemungkinan akan membuat kejutan meninggalkan kelab susulan masalah gaji Kedah masih belum menemui jalan penyelesaian.
Malah, pengurusan skuad Sang Kenari juga masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai masalah tunggakan gaji yang sudah membelenggu mereka sejak penghujung tahun lepas.
BACA LAGI: 'Bukan 4 tapi cuma 2 bulan gaji tertunggak' — Khalid Samad
Minggu ini juga difahamkan merupakan peluang terakhir buat Kedah mengemukakan dokumen penyelesaian masalah gaji kepada pihak First Instance Body (FIB).
Susulan masalah gaji ini, beberapa pemain KDA FC juga sudah memilih untuk meninggalkan pasukan Hijau Kuning dan orang kanan Nafuzi iaitu, Zul Fadzli Rozi turut membuat perkara sama.
Zul Fadzli ataupun Joe Razi yang sebelum ini, bertindak sebagai koordinator pasukan KDA FC pada musim lepas kembali semula ke Terengganu FC dengan menyandang jawatan sebagai pengarah sukan (sporting director). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram