'Liga Super sunyi tanpa Kedah', keputusan FIB, MFL beri fans Hijau Kuning nafas baharu


  • Podium
  • Ahad, 25 Feb 2024

Skuad Hijau Kuning difahamkan mengalami isu tunggakan gaji sehingga empat bulan sepanjang kempen musim lalu. — Facebook/KDA FC

TUNGGAKAN gaji dialami dua kelab Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC difahamkan masih belum diselesaikan setakat ini.

Kedua-dua pasukan yang boleh dikatakan pencabar utama musim lalu berdepan isu berkenaan sehingga pemain dan staf pasukan terpaksa meluahkan kekecewaan mereka di media sosial.

Meskipun pihak pengurusan dikatakan mahu menyelesaikannya seawal mungkin, masalah itu masih membelenggu dengan saingan Liga Super 2024/25 akan bermula kira-kira tiga bulan sahaja lagi.

BACA LAGI: 'Bukan 4 tapi cuma 2 bulan gaji tertunggak' — Khalid Samad

2456973

Skuad Warga Kota turut berdepan isu tunggakan gaji musim lalu. Facebook/Kuala Lumpur City

Jadi, dalam memastikan isu tersebut tidak diambil secara sambil lewa, pihak First Instance Body (FIB) tampil memberi tempoh akhir bagi KDA FC dan KL City FC.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, kedua-dua pasukan berkenaan perlu mengemukakan dokumen penyelesaian masalah gaji sebelum akhir minggu depan.

Ia boleh dianggap sebagai satu notis akhir buat KL City FC dan Kedah dengan kegagalan menuruti arahan terbabit membolehkan pihak berkuasa mengenakan tindakan ke atas mereka.

Namun, kenyataan tersebut juga dianggap membawa manfaat buat pasukan berkenaan kerana MFL dan FIB masih berlembut dalam isu terbabit meskipun tunggakan gaji pemain dialami beberapa bulan.

BACA LAGI: Safee Sali ‘tersenyum’ ada kelab dakwa gaji tunggak hanya 2 bulan

Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong, terutamanya dalam bagi skuad Sang Kenari mampu menarik nafas lega akan hal itu memandangkan masa depan mereka dalam Liga Super musim depan masih cerah.

"Mereka tahu bahawa sekiranya tiada Kedah, liga kita tidak akan dapat sambutan dari penyokong-penyokong Kedah," ujar Adam Nazar Channel.

"Liga Super tidak akan meriah jika Kedah tidak sertai," kata Annuar Hawari.

"Nasib baik juga. Kalau tidak, sunyi sahaja Liga Super musim depan. Harap segeralah diselesaikan hal ini," kata Alif Mat Zin.

1269060

Stuart menegaskan kedua-dua pasukan itu diberikan masa seminggu untuk menghantar dokumen diperlukan.

Menurut Stuart, KL City FC sudah mengemukakan bukti terhadap FIB, namun masih tiada dokumen diterima daripada kelab Utara tanah air tersebut.

Sekiranya tidak dapat diselesaikan, penarikan lesen kebangsaan serta denda merupakan antara hukuman yang boleh dikenakan dengan ia dilihat pendekatan terbaik.

Selain kedua-dua kelab itu, Kelantan FC merupakan sebuah lagi pasukan terkesan dengan isu kewangan serius musim lalu sehingga menyaksikan mereka disekat daripada menyertai Liga Super 2024/25. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram