PRESTASI tidak menentu dialami Sri Pahang FC dalam kempen Liga Super musim ini apabila mereka kini berada di kedudukan kesembilan dengan hanya 11 mata dikutip selepas 11 perlawanan.
Lebih mengecewakan lagi, dalam aksi baru-baru ini, kelab Pantai Timur itu dimalukan di laman sendiri oleh Perak FC dengan kekalahan 0-3 terpaksa ditelan mereka.
Keputusan itu menyaksikan penyokong berasa amat kecewa sehingga mereka mula mendesak pengendali pasukan, Fandi Ahmad untuk meninggalkan jawatan berkenaan segera.
BACA LAGI: Jaga-jaga Kedah, 3 'on-form' bekas bintang mampu bantu Sri Pahang 'gigit' Sang Kenari
BACA LAGI: Nekad ke Penang FC, Gopi percaya sentuhan Zainal Abidin Hassan
Skuad Tok Gajah belum berada di tahap terbaik setakat musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Meskipun berjaya membawa skuad Tok Gajah ke kedudukan kelima musim lalu, prestasi itu gagal diteruskan dengan pasukan berkenaan masih bergelut untuk mendapatkan rentak.
Kesukaran menyesuaikan diri untuk menyaksikan segelintir penyokong memulakan gerakan mengusir jurulatih kelahiran Singapura itu dan membawa masuk seorang pengendali lebih berkaliber.
Bagaimanapun, bekas pemain Tok Gajah, Gopi Rizqi berasakan kesalahan tidak boleh diletakkan di bahu Fandi sepenuhnya kerana masalah pengurusan turut memberi kesan terhadap pasukan.
"Ketika ini, apa yang saya dengar mereka ada masalah gaji. Jadi, kita tidak boleh salahkan jurulatih kerana dia sudah melakukan tugasnya dan dia juga berada bersama pembantu, Datuk Dollah Salleh.
"Saya juga berasa terkilan kerana Pahang tidak pernah berada dalam situasi sebegini. Ini menjadikan saya pelik kerana saya tahu isu tunggakan itu ada berdasarkan apa yang didengari," katanya kepada Majoriti.
Gopi menghabiskan majoriti daripada kariernya buat skuad Tok Gajah.
Berdasarkan luahan ketika ini, beberapa kelab Liga Super termasuk Sri Pahang berdepan isu tunggakan yang merisaukan sehingga ada pemain mengambil keputusan tidak menghadiri perlawanan.
Meskipun perkara itu sudah melanggar kontrak, kegagalan pihak pengurusan menjaga kebajikan juga perlu diambil kira dengan pemain pasti mempunyai tunggakan dan komitmen masing-masing.
Untuk rekod, Gopi pernah beraksi buat skuad Tok Gajah dari 2010 sehingga 2015 dengan beberapa kejayaan dikecapinya, termasuk membantu pasukan itu menjuarai dua gelaran Piala Malaysia berturut-turut.
Kini, dia masih beraksi buat kelab Liga A1 Semi Pro, Kuala Lumpur (KL) Rovers selepas bertahun-tahun membuktikan dirinya di Liga Super bersama beberapa pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram