Bukan salah team, bekas coach Pahang cipta nama bantu kelab Australia layak ke AFC


  • Podium
  • Selasa, 01 Okt 2024

Gamel dipilih sebagai pengendali skuad Tok Gajah selepas pada awalnya dibawa masuk sebagai pembantu jurulatih. — Facebook/Sri Pahang FC

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, Sri Pahang FC sudah beberapa kali melakukan perubahan terhadap ketua jurulatih dengan ia masih belum dapat membawa pasukan itu ke zaman kegemilangannya semula.

Antara yang pernah mengisi 'kerusi panas' itu ialah pengendali kelahiran Perancis, Christophe Gamel dengan dia pada awalnya dibawa masuk sebagai pembantu kepada Thomas Dooley.

Meskipun pernah meraih pengalaman di Eropah, perbezaan dari segi budaya menyukarkan jurulatih berkenaan membawa perubahan terhadap skuad Tok Gajah dalam tempoh singkat yang diberikan kepadanya.

BACA LAGI: Gamel ‘offer’ diri, sanggup jadi coach kelab Liga Super berbanding balik kampung

BACA LAGI: Kelibat Gamel bersama skuad muda Vietnam dapat 'restu' ex-Pahang, tonggak Kedah

Gamel-1

Tempoh kejurulatihan Gamel bersama skuad Tok Gajah terlalu singkat. — Facebook/Sri Pahang FC

Keputusan tidak menentu seperti tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Super selepas mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor menceritakan masalah konsistensi dihadapi Gamel bersama Sri Pahang FC.

Jadi, selepas diberikan peluang dalam 13 perlawanan, skuad Tok Gajah akhirnya mengambil keputusan 'merehatkan' jurulatih berusia 52 tahun tersebut pada pertengahan musim 2022.

Tindakan berkenaan tidak mematahkan semangat Gamel yang segera bangkit untuk kembali ke bidang diminatinya itu apabila menyertai skuad kebangsaan Vietnam sebagai pembantu dalam pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) mereka.

Selepas beberapa bulan bersama negara itu, dia kemudiannya memikat hati pasukan Australia, Macarthur FC yang menawarkan tugas pembantu pengurus kepada Mile Sterjovski pada Jun tahun lalu.

Pengalamannya di Liga Super dan beberapa liga serata dunia sememangnya diharapkan dapat membawa kelab itu ke tahap lebih baik selepas bertahun-tahun berusaha keras menjadi pencabar utama.

#australiacup winner 2024

Gamel membantu Macarthur FC layak ke pentas Asia musim depan. — Instagram/Christophe Gamel

Kehadirannya jelas membawa perubahan buat skuad The Bulls apabila pada Ahad lalu, kelab berkenaan muncul juara Piala Australia hasil kemenangan ke atas Melbourne Victory.

Pencapaian itu sememangnya diraikan Macarthur FC dan Gamel sendiri memandangkan kejayaan tersebut sekali gus membawa mereka ke Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 2025/26.

Secara peribadi pula, kejayaan menjulang Piala Australia itu turut menyaksikan pengendali berkenaan membawa pulang trofi buat kali pertama selepas bertahun-tahun menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan.

Penyokong Sri Pahang FC juga sudah tentu berasa bangga atas pencapaian Gamel sejak meninggalkan kelab Pantai Timur itu kerana masing-masing yakin dia memiliki kredibiliti tersendiri.

Malah, kejayaan itu turut menghadirkan rasa kecewa orang ramai terhadap penantian berterusan skuad Tok Gajah untuk meraih kejayaan sedemikian memandangkan kali terakhir mereka menjuarai sesuatu adalah pada Piala Malaysia 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram