TINDAKAN melakukan kekasaran ke atas pengadil dalam aksi suku akhir Piala Malaysia 2022 menyaksikan bek tengah Jordan, Yazan al-Arab dikenakan penggantungan seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dia yang ketika itu beraksi untuk Selangor FC diberikan hukuman tersebut kemudiannya mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu dan pulang ke Timur Tengah bagi meneruskan kariernya.
Namun, tempoh diluangkan di rantau berkenaan tidaklah begitu lama kerana pada Julai lalu, pemain berusia 28 tahun berkenaan menerima tawaran daripada kelab Korea Selatan, FC Seoul.
BACA LAGI: Dari Selangor ke Korea, Yazan sah sertai FC Seoul
BACA LAGI: Rezeki keluar Selangor, Yazan dapat 'offer' kelab bekas bintang Man United
Yazan menghabiskan tempoh dua musim beraksi buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Peluang itu sememangnya sukar ditolak kerana perpindahan itu menyaksikannya dapat melebarkan sayap kariernya di Asia Barat selain beraksi di samping bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard.
Kesempatan terbabit diambil sebaiknya kerana sejak menyertai pasukan berkenaan, Yazan sudah menerima status bek tengah utama kerana dia kerap mematahkan serangan lawan.
Fizikalnya yang lebih baik berbanding pemain tempatan Korea Selatan turut menjadikannya watak utama buat skuad bimbingan Kim Gi-dong itu yang kini berada di kedudukan kelima liga selepas 32 perlawanan.
Tidak cukup dengan itu, persembahan konsisten dipamerkan Yazan menyaksikannya diangkat sebagai pemain terbaik bagi bulan Ogos, mengatasi calon daripada pasukan lain.
Pencapaian itu dikongsikan FC Seoul di laman Instagram kelab dengan pemain bertubuh sasa itu jelas berpuas hati dengan pengiktirafan diberikan badan pengelola Liga Korea Selatan.
Aksi pertahanan cemerlang membolehkan Yazan meraih anugerah itu. — Instagram/FC Seoul
Kejayaan tersebut juga sudah tentu diraikan penyokong Selangor FC yang berpeluang menyaksikan kebolehannya dalam benteng pertahanan selama dua musim bermula 2021.
Meskipun sukar menampilkan persembahan konsisten, Yazan masih meraih tempat dalam hati peminat kerana sering mengerah keringat dalam memastikan gawang mereka tidak dibolosi.
Sepanjang tempoh berkenaan, dia sempat diturunkan sebanyak 50 kali, termasuk semasa kekalahan pasukannya kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di final Piala Malaysia 2022.
Untuk rekod, sepanjang Ogos lalu, Yazan mencipta tiga penampilan dalam liga dengan tiada sebarang gol dibolosi kelab tersebut yang membantu mereka ke kedudukan lebih baik.
Sekiranya prestasi FC Seoul dapat diteruskan, mereka berpeluang merebut slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 dengan mereka kini berkongsi mata dengan Pohang Steelers. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram