SAINGAN Sepak Takraw League (STL) sudah selesai dengan dua grand prix diadakan dengan GP Terengganu melabuhkan tirainya pada Sabtu.
Kemenangan buat KL Thunder ke atas Terengganu Turtles 15-7, 15-11 membantu kelab Lembah Klang itu meraih kejuaraan kedua selepas memenangi GP Selangor sebelum itu.
Kekuatan KL Thunder nyata terletak kepada gandingan pemain kebangsaan Syahir Rosdi dan Azlan Alias yang sukar dicabar pasukan lain.
BACA LAGI: Peluang beraksi di gelanggang sebenar, Klinik STL kini dibuka khas buat warga Pulau Pinang, Johor
BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Keberanian tukar tekong utama tuai hasil, Perak Bison mula langkah kanan
Malah, mereka turut dikuatkan dengan tenaga pemain import dari Thailand iaitu Sirisak Anuloon.
Dengan adanya Sirisak bersama KL Thunder, dia membantu kelab itu untuk menguasai saingan dengan persembahan baiknya bersama-sama Syahir dan Azlan.
Namun begitu, saat pemain Thailand itu cemerlang di Malaysia, terdapat persepsi negatif yang dilemparkan kepadanya oleh warga di sana.
Dalam rakaman yang tular di Facebook, persembahan Sirisak bersama-sama rakan sepasukan KL Thunder itu mendapat perhatian warga Thailand. Mereka dilihat keliru dengan penglibatan pemain itu dalam STL.
Ada yang menyangka yang Sirisak sudah 'lari' menyertai skuad kebangsaan Malaysia sedangkan dia mewakili KL Thunder.
Mungkin faktor yang Sirisak bergandingan dengan Syahir dan Azlan yang merupakan pemain kebangsaan negara membuatkan dia disangka sudah beraksi untuk Malaysia.
Selepas Terengganu, saingan STL akan diteruskan dengan GP Perak bakal diadakan bermula daripada 9 hingga 13 Oktober. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram