Siap jumpa TMJ, tetamu VIP saksikan JDT pesta gol benam Kelantan


  • Podium
  • Ahad, 22 Sep 2024

Sebahagian aksi menarik tonggak JDT, Arif Aiman (dua kanan) yang dilihat cuba merampas bola daripada pemain Kelantan Darul Naim.

JUARA bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) berpesta gol dengan membelasah Kelantan Darul Naim FC 6-1 pada saingan Liga Super 2024/2025.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Ahad itu menyaksikan Harimau Selatan terpaksa berhempas-pulas untuk meraih jaringan apabila dilihat sukar memecahkan benteng pertahanan Kijang Merah.

Bagaimanapun, penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva berjaya memecahkan kebuntuan jaringan apabila meledak dua gol pada penghujung perlawanan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pecah tembok besar, Sze Fei-Izzuddin juara Terbuka China 2024

BACA LAGI: Milunovic wira tidak disangka-sangka akhiri kebuntuan Perak FC di tempat sendiri

Dua jaringan yang masing-masing dicetak pada minit ke-42 dan m-45 itu sekali gus menyaksikan JDT berada pada kedudukan selesa.

Bersambung babak kedua, JDT yang berada pada momentum cemerlang itu dilihat melakukan serangan bertali arus ke kubu pelawat.

Serangan demi serangan yang dihasilkan oleh skuad kendalian Hector Bidoglio itu akhirnya berjaya apabila pemain sayap Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi mencetak dua gol pada minit ke-55 dan m-58.

Masih mahu mencari gol, Bergson akhirnya mencetak hatrik selepas berjaya menyumbat masuk jaringan pada minit ke-71.

Kesilapan komunikasi antara pemain pertahanan dan penjaga gol KDN, Fikri Che Soh dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mohamadou Sumareh apabila hantaran lintang dihasilkan olehnya terkena salah seorang pemain Kijang Merah yang sekali gus menyaksikan bola meluru masuk ke pintu gawang pelawat pada minit ke-75.

Meskipun tewas di laman lawan, pengendali Kelantan Darul Naim, Park Jae-hong boleh menarik nafas lega selepas berjaya mencetak gol sagu hati menerusi bekas pemain antarabangsa Palestin, Layth Kharoub.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 22.56.15

Bergson meledak hatrik dalam aksi bertemu Kelantan Darul Naim.

Aksi yang berlangsung di SSI itu sedikit lengang dengan penyokong seakan-akan sudah tahu kemenangan berpihak kepada JDT.

Namun, ia masih dihangatkan dengan kehadiran pempengaruh terkenal antarabangsa, iShowSpeed yang hadir dengan menyarung jersi skuad Harimau Selatan.

Dia yang baru-baru ini mengadakan lawatan di beberapa negara sekitar Asia Tenggara sudah pasti tidak mahu ketinggalan peluang melawat stadium moden tersebut.

Malah, dia juga sempat bertemu pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di kawasan khas dengan kedua-dua mereka sempat bersembang seperti mana dikongsikan orang ramai di media sosial.

Kemenangan JDT itu juga menyaksikan mereka mengukuhkan lagi kedudukan di carta Liga Super dengan kelebihan enam mata dimiliki berbanding pencabar terdekat, Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram