[VIDEO] Kini No. 2 Chinese Super League, JDT perlu awasi bekas anak didik Jurgen Klopp


  • Podium
  • Isnin, 30 Sep 2024

Teixeira (kiri) menyertai Shanghai Shenhua pada musim 2023.

JOHOR DARUL TA'ZIM pastinya mahu mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan kelab China, Shanghai Shenhua pada Selasa (1 Oktober).

Pasukan kendalian Hector Bidalgio itu bermula cemerlang dalam aksi pertama ACLE dengan mengikat juara musim lepas Chinese Super League, Shanghai Port dengan keputusan 2-2 di tempat lawan.

Walaupun dibarisi bintang import berkelas dunia seperti Oscar dos Santos, Matias Vargas dan Gustavo Henrique ia tidak menghalang Arif Aiman Hanapi untuk meledak dua jaringan gol.

BACA LAGI: 'Masih lemah kawal permainan', fans Gergasi Merah tak puas hati biarpun Selangor bawa pulang 3 mata

BACA LAGI: [VIDEO] Penganalisis kemuka bukti, Michael Oliver didakwa pengadil Manchester City

Aksi cemerlang JDT dalam perlawanan lalu menjadi bekalan buat pemain-pemain Harimau Selatan untuk mengutip tiga mata penting di hadapan ribuan penyokong sendiri apatah lagi tiket bagi perlawanan kedua ACLE itu habis dijual.

Ini memberi gambaran bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor akan bergema dengan sorakan padu 'pemain-pemain ke-12' Harimau Selatan.

Namun begitu, setiap perlawanan pasti ada cabarannya tersendiri dengan Shanghai Shenhua turut mempunyai beberapa pemain import berkualiti musim ini.

Pemain import dimaksudkan ialah Joao Carlos Teixeira yang kini merupakan tonggak utama Shanghai Shenhua sejak musim lalu.

Bagi peminat setia Liverpool FC pastinya mengenali sosok pemain berketinggian 1.77 meter (m) itu kerana bekas bintang The Reds tersebut adalah graduan akademi kelab yang berpengkalan di England.

Bersama Liverpool, Teixeira tampil dalam lapan penampilan di skuad utama dengan satu jarinan gol ketika berdepan Exeter City.

Manakala bersama skuad Bawah-21 Tahun (B-21) Liverpool pula, Teixeira menjadi anggota tetap dengan 40 penampilan, lapan gol dan empat 'assist'.

Selepas kemasukkan Jurgen Klopp sebagai pengendali baharu Liverpool pada musim 2015, Teixeira kurang mendapat tempat dengan beraksi di Liga Portugal, Belanda dan Qatar sebelum menyertai Shanghai Shenhua pada musim 2023.

Meskipun baru menyertai Shanghai Shenhua pada musim lepas, rekod 43 permainan bersama kelab China itu menunjukkan Teixeira antara nadi utama pasukan.

Sembilan jaringan dan tujuh 'assist' akan menjadi cabaran utama barisan pemain-pemain JDT dalam mengekang asakan Teixeira pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram