Beraksi dengan bintang JDT, Real Madrid antara kisah menarik rekrut baharu Selangor


  • Podium
  • Selasa, 01 Okt 2024

Pengalaman Jambor beraksi sekitar Eropah diharapkan dapat membawa skuad Gergasi Merah ke tahap lebih tinggi. — Facebook/Selangor FC

SKUAD Gergasi Merah diperkukuhkan dengan kemasukan bintang kelahiran Croatia, Nikola Jambor yang cukup selesa beraksi sebagai pemain tengah bertahan yang cukup berpengalaman di Eropah.

Di samping pernah bertahun-tahun bermain di negara asalnya, jeneral berusia 29 tahun itu berpeluang berkelana di benua tersebut yang menyaksikannya menyertai pasukan seperti Rio Ave FC di Portugal dan Lokeren di Belgium.

Pengalaman itu pasti cukup untuk membantu Selangor FC pada kempen kali ini, lebih-lebih lagi bagi menggantikan Alex Agyarkwa yang masih diketepikan berikutan kecederaan dialaminya.

BACA LAGI: 'Hint kapak, aura viking' bekas rakan sepasukan Ibrahimovic muncul 2 nama jadi teka-teki fans Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] Baru masuk Selangor, ramai mula samakan Abualnadi dengan bekas bek Lubnan

WhatsApp Image 2024-09-30 at 1.42.42 PM

Jambor diumumkan sebagai rekrut terbaru skuad Gergasi Merah. Selangor FC

Bagaimanapun, penyokong masih kurang yakin akan kebolehan Jambor yang belum pernah disebut-sebut namanya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebolehannya menyesuaikan diri.

Namun, melihat kepada tahun-tahun kariernya, pemain tinggi lampai itu sudah mengharungi warna-warni untuk menjadikannya seorang rekrut serba lengkap buat skuad Gergasi Merah.

Berdasarkan maklumat diperoleh, berikut merupakan tiga kisah paling menarik mengenai Jambor dengan ia diharapkan dapat diteruskan buat Selangor FC di peringkat domestik mahupun Asia.

1. Beraksi di samping Chico Geraldes & Fabio Coentrao

Seperti disebut di atas, pemain baharu skuad Gergasi Merah tersebut pernah meluangkan masa di Portugal bersama Rio Ave FC selama empat musim bermula 2018 dengan 37 penampilan seperti direkodkan.

Jadi, seperti kebiasaan, tempoh dihabiskan di negara itu membolehkannya berkongsi padang dengan beberapa pemain, seperti bekas pertahan Real Madrid, Fabio Coentrao.

Menurut data diperoleh daripada laman web transfermakt, mereka pernah beraksi di samping antara satu sama lain sebanyak 14 kali dengan hampir kesemua daripadanya dicatatkan dalam saingan Liga Portugal.

WhatsApp Image 2024-09-30 at 8.38.24 PM

Jambor (kanan) bersama Geraldes ketika beraksi di Rio Ave FC. Agensi

Meskipun tidak terlibat dari segi catatan gol, peluang berkenaan sudah tentu bermakna buat Jambor dengan Coentrao pernah memenangi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sepanjang beberapa musim di Sepanyol.

Selain itu, ketika beraksi di Rio Ave, pemain baharu Selangor FC itu juga pernah sepasukan dengan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Chico Geraldes yang baru sahaja menyertai pasukan itu pada awal musim.

Pertembungan mereka dalam Liga Super 2024/25 sudah tentu membawa satu kemeriahan kerana masing-masing sudah tentu mengetahui kelemahan dan kelebihan antara satu sama lain.

2. Menjaringkan gol penting buat kelab asal

Sebelum mengembangkan sayap kariernya di sekitar Eropah, Jambor memulakan zaman permainannya buat kelab kerdil di negara kelahirannya, Slaven Belupo dengan dia merupakan graduan skuad Bawah 17 Tahun (B-17) pasukan itu.

Setelah beberapa tahun di kelab itu, dia kemudian memilih untuk berkelana ke Belgium dan menyertai KSC Lokeren, sekali gus menamatkan hubungannya bersama pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas berkelana untuk bermusim-musim lamanya, pemain itu akhirnya memilih untuk pulang ke pangkuan Slaven Belupo pada musim 2022 bagi memperkuatkan barisan tengah pasukan.

WhatsApp Image 2024-09-30 at 8.43.13 PM

Jambor pernah membuat kepulangan ke pangkuan kelab lamanya. Agensi

Kepulangannya itu juga membawa hasil tersendiri apabila dalam aksi getir berdepan Dinamo Zagreb, Jambor menjaringkan gol untuk membolehkan pasukan diwakilinya membawa pulang satu mata.

Rembatan dilakukannya menyaksikan pemain berkenaan menewaskan penjaga gol antarabangsa Croatia, Dominik Livakovic yang berpengalaman di peringkat antarabangsa.

Meskipun sumbangan berkenaan tidaklah terlalu bermakna, nilai jaringan itu sudah tentu amat bermakna buat pasukan serta pemain itu sendiri yang sudah bertahun-tahun mencurah bakti di Slaven Blupo.

3. Terpaksa cuti lama akibat kecederaan lutut

Berdasarkan rekod terdahulu, Jambor tidak terkecuali dengan isu kecederaan apabila dia pernah terlepas 27 perlawanan secara berturut-turut dengan masalah itu menyaksikannya terpaksa berehat selama 268 hari.

Kecederaan lutut itu dialami ketika dia masih beraksi buat Rio Ave dengan situasi itu mengakibatkan kehilangannya amat dirasai kelab Portugal yang memiliki cita-cita besar tersebut.

DSC_5782

Jambor (kanan) pernah mengalami dua kecederaan serius dalam kariernya. Agensi

Lebih mengecewakan lagi, dia kembali selepas pasukan itu membuat perubahan terhadap barisan kejurulatihan yang menyulitkan lagi usaha menyesuaikan diri dalam skuad.

Mimpi ngeri itu tidak terhenti di situ apabila pada Januari 2021, kecederaan jangka masa panjang sekali lagi melanda ketika dia masih beraksi buat Rio Ave FC.

Masalah berkenaan menyaksikan Jambor berehat selama 268 hari dan 18 perlawanan ketinggalan dengan ia kali terakhir dia mengalami kecederaan serius dalam kariernya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram