Rezeki keluar Selangor, Yazan dapat 'offer' kelab bekas bintang Man United


  • Podium
  • Ahad, 16 Jun 2024

Yazan (berjersi nombor lima) berkhidmat untuk Selangor pada musim 2022 hingga Oktober 2023. — Facebook/SelangorFC

MESKIPUN pernah terpalit dengan insiden kontroversi ketika beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) namun kepakaran bekas bek Selangor FC, Yazan Al-Arab menjadi rebutan beberapa kelab liga luar negara.

Pertahanan tengah skuad kebangsaan Jordan berkenaan difahamkan akan menyertai pasukan Liga Divisyen Satu Korea Selatan (K-League), FC Seoul bagi saingan musim 2024/2025 nanti.

Perkembangan terbaharu mengenai Yazan itu dikongsikan oleh laman X, Korea Football News yang memaklumkan bahawa FC Seoul semakin hampir untuk menandatangani pemain berusia 28 tahun berkenaan.

BACA LAGI: Kegembiraan Sabah dibayangi kegusaran, perlu lebih kerja keras lawan Terengganu

BACA LAGI: Piala FA: Bergson 'hilang' dari radar, KDN FC buat penyokong Kelantan lega

Sekiranya perpindahan ke FC Seoul termaterai, ia merupakan pencapaian terbaharu buat Yazan apabila dia merupakan pemain Jordan pertama yang bermain dalam saingan K-League.

Bukan itu sahaja, perpindahan Yazan ke FC Seoul juga boleh dianggap sebagai penghijrahan yang berbaloi apabila dia mempunyai peluang bermain bersama bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard.

Untuk rekod, FC Seoul telah memenangi kejuaraan K-League sebanyak enam kali dan naib johan Liga Juara-Juara Asia pada 2021 dan 2013, sekali gus menjadikan pasukan itu sebagai salah satu pasukan paling menonjol di Korea Selatan.

Menurut maklumat yang disahkan, Yazan juga menerima tawaran rasmi daripada beberapa kelab di Arab Saudi dan turut menarik minat salah satu kelab terkemuka dalam Liga Maghribi.

Rezeki melimpah ruah Yazan selepas terpaksa ditamatkan kontrak Selangor membuktikan bek tengah itu merupakan salah satu pertahanan import terbaik Gergasi Merah dan situasi kontoversi memaksanya untuk tidak lagi bermain bersama Selangor.

Untuk rekod, pada 24 September 2023, tindak emosi Yazan yang menendang pengadil selepas aksi suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Selangor FC jelas membawa padah.

Dalam insiden di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Selangor, pemain antarabangsa Jordan itu melakukan kekasaran ke atas Hasrol Mohd Amir sebagai tanda protes selepas layangan kad merah.

Justeru, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bek tengah itu dikenakan penggantungan seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak dalam negara pada 20 November lalu.

Selepas meninggalkan Selangor, Yazan memilih angin baharu dengan menyertai sebuah kelab di Iraq, Al Shorta SC bagi saki baki musim 2023 sebelum menandatangani kontrak dengan pasukan Qatar, Muaither SC pada Januari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram