MEMASUKI separuh musim saingan Liga Super 2024/1015, terdapat beberapa pasukan sudah mula menunjukkan kebolehan masing-masing dengan ada yang berada di kedudukan tidak dijangka.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan ada juga beberapa kelab yang masih bergelut dengan masalah prestasi apabila hanya beberapa mata dikutip selepas mengharungi lebih kurang 10 permainan setakat ini.
Meskipun ada yang mengatakan bahawa isu gaji punca ada kelab sukar membawa pulang mata namun ketiadaan pemain utama akibat kecederaan turut memberi kesan kepada masalah prestasi atas padang.
BACA LAGI: Terperanjat pecah rekod, Olahragawan SUKIPT optimis sukan kayak ada masa depan
BACA LAGI: 'Masih lemah kawal permainan', fans Gergasi Merah tak puas hati biarpun Selangor bawa pulang 3 mata
Kehilangan tonggak utama dek isu kecederaan membuatkan barisan kejurulatihan terpaksa menggunakan pilihan kedua dengan pemain sandaran tersebut tidak menawarkan kualiti sama seperti bintang utama mereka.
Khidmat tonggak yang terpaksa berehat panjang jelas amat dirindui dengan kepulangan mereka dinanti-nantikan para penyokong bagi membantu meneruskan perjuangan pasukan pada saki-baki liga.
Justeru itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain utama yang sudah mula dilaung untuk segera kembali menyelamatkan kelab masing-masing sebelum terlambat;
1) Stefano Brundo
Kemenangan besar 5-1 ke atas PDRM FC pada 16 September sebelum ini, Sri Pahang FC terpaksa membayar dengan kecederaan yang dialami pemain import utama mereka iaitu Stefano Brundo.
Difahamkan, bek tengah kelahiran Argentina itu mengalami kecederaan kaki kanan dan seolah-olah memerlukan tempoh rehat panjang sehingga terlepas dua perlawanan Liga Super ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC.
Ketiadaan pemain yang meledak empat gol buat Tok Gajah setakat ini itu jelas meninggalkan kesan mendalam buat Sri Pahang sehingga menyaksikan pasukan Pantai Timur itu tidak berhasil memungut sebarang mata.
Pemain berusia 31 tahun itu bukan hanya rajin membantu bahagian serangan Sri Pahang sejak musim lepas, malah tahun ini diberi kepercayaan oleh Fandi Ahmad untuk menyarung lilitan ketua pasukan.
2) Azalinullah Alias
Azalinullah setakat ini hanya tampil dalam enam perlawanan Liga Super. — Facebook/PerakFC
Musim 2023 boleh dikatakan zaman kemunculan kembali buat pemain tengah, Azalinullah Alias apabila perpindahannya ke Perak FC dari Terengganu FC (TFC) pada 2023 membuahkan hasil.
Persembahannya bersama skuad The Bos Gaurus (TBG) pada musim lalu membuatkan terdapat lima pasukan terbaik saingan Liga Super dilaporkan memburu khidmatnya sebelum memutuskan untuk terus menabur bakti bersama Perak untuk tahun ini.
Bagaimanapun, musim ini seolah-olah bukan tahun yang baik buatnya apabila dilaporkan mengalami kecederaan sehingga sudah terlepas tiga perlawanan Liga Super iaitu aksi menentang Negeri Sembilan FC, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang.
Adakah kecederaan musim ini akan menyaksikan pemain berusia 28 tahun itu akan kembali 'lenyap' dalam saingan domestik selepas sebelum ini tiada mana-mana pasukan menawarkan kontrak sehingga Perak memberinya peluang.
3) Shahrul Nizam
Shahrul Nizam berperanan sebagai bek tengah utama Terengganu. — Facebook/TFC
Bek tengah Terengganu, Shahrul Nizam Ros Hasni juga menjadi antara pemain yang dirindui penyokong selepas khidmatnya terpaksa dilupakan sejak 15 September lalu susulan kecederaan pada pehanya.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Shahrul Nizam disahkan sedang menjalani rawatan pemulihan sekurang-kurangnya tiga minggu setelah mengalami kecederaan pada bahagian tisu paha semasa latihan.
Kehilangan Shahrul Nizam atau lebih mesra dengan panggilan Nijey membuatkan Tomislav Steinbruckner terpaksa menggunakan khidmat Ubaidullah Shamsul Fazili sebagai bek tengah pasukan.
Tidaklah mengatakan persembahan Ubaidullah Shamsul yang ditampilkan kurang berkualiti namun jelas pengalaman Shahrul Nizam sebagai pertahanan senior menawarkan perbezaan untuk mengekang lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram