Nekad ke Penang FC, Gopi percaya sentuhan Zainal Abidin Hassan


  • Podium
  • Selasa, 28 Jun 2022

Penang FC menjadi pasukan ketujuh buat Gopi sepanjang kariernya di Liga M setelah pernah beraksi bersama Pahang, Selangor, JDT, Melaka United, PDRM dan Sarawak United.

SELESA bekerja dan keserasian yang sudah wujud sejak di awal karier bersama jurulatih, Zainal Abidin Hassan menjadikan faktor pemain sayap, Muhammad Gopi Rizqi memilih berhijrah Penang FC.

Menurut Gopi, keputusan berhijrah dari Sarawak United FC bukanlah satu perkara sukar untuk dilakukan malah dia optimis mampu menaikkan semula kariernya di bawah asuhan Zainal.

“Zainal telah ajak datang ke sini sebaik bersama Penang dan sememangnya saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran yang diberikan.

“Tambahan setelah hampir dua musim di Sarawak, saya rasa ini detik terbaik untuk berhijrah dan Penang saya rasa destinasi terbaik.

“Beliau sangat memahami cara permainan semasa enam tahun di Pahang selain Selangor malah saya sendiri rasa kami ada keserasian.

“Jadi peluang untuk kembali bekerjasama dengan Zainal saya harap mampu lonjakkan kembali karier selepas kurang menjadi dalam beberapa musim ini selain faktor kecederaan,” katanya kepada MFL.

Gopi menjadi pertaruhan terbaharu Penang pada jendela perpindahan kedua pemain selain Faizal Talib (Melaka United FC) dan pemain import, Lucas Silva bagi menggantikan Casagrande.

WhatsApp Image 2022-06-28 at 7.33.27 PM

Poster pengumuman Gopi sebagai taruhan baharu skuad Harimau Kumbang.

Penang menjadi pasukan ketujuh buat Gopi sepanjang kariernya di Liga Malaysia setelah pernah beraksi bersama Pahang, Selangor, Johor Darul Takzim, Melaka, PDRM dan Sarawak United.

Musim 2013 dan 2014 menjadi antara detik kemuncak dalam karier Gopi apabila membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia untuk dua musim berturut-turut selain Piala FA (2014).

Gopi yang akui kurang mendapat tempat bersama Sarawak United musim ini berharap mampu menempatkan diri dalam kesebelasan utama di Penang.

“Bersama Penang, harap saya mampu membantu pasukan malah nampak mereka ada peningkatan ketara selepas berjaya menang berdepan Terengganu.

“Memang pasti akan ada saingan bagi merebut tempat di posisi sayap kiri terutama pemain muda, T. Saravanan yang begitu meningkat kebelakangan ini.

“Saya cuba gunakan pengalaman yang ada bagi meraih kepercayaan jurulatih tetapi saya percaya ini adalah satu persaingan sihat dalam pasukan,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram