PERAK Bison memulakan kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2024 Grand Prix (GP) Terengganu dengan langkah kanan selepas menundukkan Selangor Pistons 2-1 (15-11,8-15,17-14) dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu pada Selasa.
Selangor Pistons yang dibarisi tekong berpengalaman, Aizat Mohd Norazmi, Arif Badri sebagai apit kiri dan Nonthanan Sombatlay (apit kanan) turun berdepan cabaran gandingan Meor Zulfikar Mat Amin (tekong), Treepong Rawangpai (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) untuk Perak Bison.
Pada set pertama, Selangor Pistons dilihat bergelut untuk mendapatkan mata apabila Perak Bison terus membuat libasan dan rejaman yang tajam.
BACA LAGI: Peluang beraksi di gelanggang sebenar, Klinik STL kini dibuka khas buat warga Pulau Pinang, Johor
BACA LAGI: [VIDEO] Ledak gol jumpa Penang FC, Avanzini kongsi terima 'azimat' Bojan Hodak
Masih mahu memberikan tentangan sengit, Selangor Pistons membuat dua pertukaran dengan membawa masuk tekong berbisa, Zuhri Zin dan Ariff Daniel Mohammad Aripin bagi menggantikan Aizat dan Nonthanan.
Percaturan membawa masuk kedua-dua pemain itu membuahkan hasil apabila Perak Bison dilihat bergelut mendapatkan kembali rentak permainan kerana gagal menyelamatkan libasan mantap daripada Zuhri.
Begitupun, Selangor Pistons gagal memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin apabila apit kanan, Ariff Daniel membuat kesilapan mudah yang menyaksikan Perak Bison menang 15-11 set pertama.
Bersambung set kedua, Perak Bison membuat pertukaran dengan membawa masuk apit kanan negara, Muhammad Noraizat Nordin namun percaturan itu tidak berjaya apabila Selangor terus membuat serangan ke gelanggang lawan.
Meskipun kemasukan Zuhri (tengah) banyak mengubah rentak permainan namun Selangor Pistons perlu mengakui kekuatan Perak Bison.
Ketenangan tekong Selangor Pistons dalam membuat servis ke gelanggang lawan berhasil mengelirukan lawan sekali gus berjaya mengheret perlawanan tersebut ke set penentuan dengan keputusan 15-8.
Susulan kekalahan set kedua, ketua jurulatih Perak Bison, Dzafril Anuar membuat pertukaran berani dengan membawa masuk tekong import, Kritsada Sungvung untuk menggantikan Meor yang kelihatan seperti hilang fokus.
Aksi dalam set penentuan menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit dengan perbezaan mata yang cukup rapat antara satu sama lain.
Walaupun Selangor mengikat pasukan lawan 14-14 dalam set penentuan tetapi anak buah Dzafril Anuar berjaya bangkit untuk memenangi set ketiga dengan keputusan akhir 17-14.
Keputusan itu memberikan Perak Bison mengungguli Kumpulan D STL 2024.
Selepas ini, KPT Masum Knights akan bertemu Selangor Pistons pada Rabu sebelum menghadapi cabaran Perak Bison dalam Kumpulan D pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram