SEJAK kebelakangan ini, pengikut bola sepak tempatan sering menyebut mengenai keputusan 6-1. Ia menjadi popular disebabkan apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Selangor FC dengan keputusan tersebut di perlawanan akhir Piala FA.
Malah, Harimau Selatan turut melakukan perkara sama apabila menewaskan Kelantan Darul Naim FC dalam aksi Liga Super.
Jaringan 6-1 itu cukup ikonik dalam bola sepak tempatan dengan ia sudah terhasil pada Piala Malaysia 1986 apabila Selangor menewaskan Johor.
Di era moden, beberapa kali kita dapat saksikan jaringan serupa terhasil dalam pelbagai perlawanan bola sepak tempatan.
BACA LAGI: Antara dua darjat, Selangor tak mampu kekang JDT hatrik Piala FA, julang trofi diiktiraf
BACA LAGI: Siap jumpa TMJ, tetamu VIP saksikan JDT pesta gol benam Kelantan
Selangor lawan Terengganu (Liga Super 2012)
Selain menewaskan Johor, Selangor juga pernah menewaskan Terengganu dengan keputusan 6-1 pada 2012 ketika kedua-duanya bertemu dalam Liga Super.
Beraksi dalam keadaan padang becak di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor yang ketika itu dibimbing oleh Irfan Bakti mengamuk dengan menewaskan kelab Pantai Timur itu.
Mereka mendahului 4-1 dengan pemain seperti Amri Yahyah, Safiq Rahim dan Bosko Balaban antara penjaring untuk Gergasi Merah.
Musim tersebut, Irfan baru menyertai Selangor dikatakan mengeluarkan segala pengetahuannya mengenai Terengganu yang merupakan bekas kelabnya pada musim sebelumnya.
Kelantan lawan JDT (Piala Malaysia 2013)
Jaringan daripada perlawanan ini mungkin menjadi permulaan kepada ikoniknya 6-1 dalam era moden bola sepak Malaysia.
Bertemu di suku akhir, Kelantan bagaimanapun ketinggalan 2-4 selepas kalah aksi pertama di Larkin.
Beraksi di Kota Bharu, The Red Warriors yang didukung oleh ribuan penyokongnya mempamerkan persembahan cemerlang mereka untuk mendapatkan penguasaan hingga berjaya menang 6-1 sekali gus layak ke separuh akhir bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kemenangan hebat di suku akhir itu bagaimana pun tidak dapat diakhiri dengan trofi apabila mereka tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC pada perlawanan akhir.
Terengganu lawan Kelantan (Liga Super 2016)
Siapa yang boleh tahan apabila kalah perlawanan bertemu musuh tradisi dengan jaringan besar?
Itulah yang terpaksa ditelan oleh Terengganu FC apabila mereka ditumbangkan oleh Kelantan dengan jaringan tersebut di laman sendiri pada 2016.
Tugas mereka jelas sukar apabila seawal minit ke-2 apabila pertahanan, Vincent Bikana dibuang padang kerana mengasari pemain Kelantan dalam kotak penalti.
Walaupun berjaya menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol, tetapi Terengganu tidak dapat menahan asakan Kelantan yang bermaharajarela pada sebahagian besar perlawanan hingga berjaya mencatatkan kemenangan bergaya ke atas musuh tradisi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram