[VIDEO] 'Challenge' tidak berpihak Selangor Pistons, kemenangan Terengganu Turtles jadi pertikaian


  • Podium
  • Sabtu, 28 Sep 2024

Antara aksi perlawanan antara Terengganu Turtles dengan Selangor Pistons pada Jumaat.

TERENGGANU Turtles menempah slot terakhir ke separuh akhir Grand Prix (GP) Terengganu, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 selepas menyingkirkan Selangor Pistons dalam aksi rubber set 17-15,13-15,15-13 di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.

Selangor Pistons membariskan Aizat Azmi (tekong), Arif Badri (apit kiri) dan Ariff Daniel (apit kanan), manakala Terengganu Turtles meletakkan skuad terkuatnya diketuai Zulkifli Razak (tekong), Zulhusni Basri (apit kiri) dan Suthikiart Panseankaew (apit kanan).

Dalam aksi tersebut, kedua-dua pasukan dilihat seimbang dalam melakukan serangan dan pertahanan.

BACA LAGI: Klinik STL bawa jaguh takraw negara gegar pelajar Orang Asli di Selangor

BACA LAGI: Bahang kehangatan aksi gulung bermula, Klinik STL 2024 gegar sekolah, negeri terpilih

Meskipun membawa masuk tekong muda tinggi lampai, Zuhri Zin, namun percaturan Selangor Pistons menemui jalan buntu apabila kekuatan tekong berpengalaman Terengganu Turtles, Zulkifli Abd Razak menunjukkan jalan keluar kepada lawan.

Pada set pertama, Selangor Pistons terpaksa akur selepas tewas 15-17 namun berjaya bangkit pada set kedua dengan keputusan 15-13 sekali gus mengheret aksi tersebut ke set penentuan.

Dalam set penentuan, Selangor Pistons terpaksa akur selepas tewas 13-15.

Bagaimanapun, aksi suku akhir tersebut dicemari dengan insiden pergaduhan.

Dipercayai, insiden tegang itu tercetus pada penghujung perlawanan apabila barisan kejurulatihan Selangor Pistons tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang didakwa berat sebelah.

Difahamkan, Selangor Pistons tidak berpuas hati dengan permintaan challenge Terengganu Turtles yang ketika itu menyaksikan keputusan berpihak kepada pasukan Pantai Timur itu (14-13).

Berang dengan challenge yang dianggap salah itu, Selangor Pistons mendakwa bahawa bola tidak terkena lantai kerana dapat diangkat oleh anak-anak buahnya.

Ulang tayang menunjukkan bola seolah-olah terkena lantai selain blok Ariff Daniel juga boleh dikira foul kerana kakinya terkena jaring.

Namun begitu, keputusan juri akhirnya memberikan Terengganu Turtles mata sekali gus menyaksikan mereka layak ke separuh akhir berdepan PDRM Defenders. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram