[VIDEO] KL Thunder ancaman utama, coach Selangor Pistons kongsi taktikal 'bahaya' aksi GP Terengganu


  • Podium
  • Ahad, 22 Sep 2024

Selangor Pistons diundi bersama Perak Bison dan KPT Masum Knight dalam Kumpulan D bagi Grand Prix Terengganu.

KEPUTUSAN undian Grand Prix (GP) Terengganu, Emas Anuar Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2024 menyaksikan beberapa pertembungan menarik dijangka berlaku.

Antara yang mencuri tumpuan sudah semestinya saingan Kumpulan B menempatkan juara GP Selangor, Kuala Lumpur Thunder yang diletakkan bersama-sama PDRM Defenders serta Negeri Sembilan Antlers.

Kumpulan D menampilkan naib juara serta pemenang tempat ketiga GP Selangor, Perak Bison dan Selangor Pistons selain KPT Masum Knight bakal memberi halangan untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Libasan penuh ‘dendam’, tekong Selangor Pistons ‘gari’ PDRM Defenders, raih tempat ketiga GP Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Aksi Negeri Sembilan Antlers-Selangor Pistons antara 3 'epic comeback' mewarnai GP Selangor

Menjelang sirkit kedua itu, tentunya semua pasukan sudah melakukan persiapan rapi dari segi fizikal dan mental untuk meraih keputusan berbeza di bumi Terengganu.

Mengulas lanjut mengenai persiapan Selangor Pistons, jurulatihnya, Ridhuwan Abdul Manaf berkata, pasukannya itu kini berada dalam momentum terbaik untuk berdepan cabaran bagi GP Terengganu.

"Seperti pasukan lain, Selangor pun kini sedang dalam proses persiapan, kita sedia maklum bahawa untuk sirkit pertama sebelum ini, masing-masing pasukan mencari rentak permainan untuk mendapatkan momentum.

"GP Terengganu ini kita sudah bersedia dari segi fizikal dan mental, kita banyak buat latih tubi untuk tekong terutamanya.

"Yang pasti Selangor Pistons akan beri saingan sengit kepada pasukan lain," katanya kepada Majoriti.

Bercakap mengenai saingan bagi GP Terengganu tersebut, Ridhuwan yang berusia 43 tahun itu mendedahkan bahawa pasukannya itu kini bersedia untuk menghadapi cabaran dalam Kumpulan D.

"Perak Bison antara yang saya rasa bagi saingan untuk GP Terengganu ini kerana kita pernah tewas 1-2 kepada mereka dalam aksi suku akhir dan kalah di peringkat kumpulan B.

"Tapi tak sangka kita akan diundi sekali lagi dalam Kumpulan D untuk GP Terengganu, tapi selain Perak Bison, kita tak boleh pandang rendah kekuatan KPT Masum Knights dan pasukan yang paling kita geruni ketika ini, KL Thunder.

"Bagaimanapun, bagi kami pasukan yang majoritinya pemain-pemain muda akan beri saingan lebih hebat insya-ALLAH di Terengganu nanti," ujarnya.

6302857029798182696

Selangor Pistons letak sasaran sekurang-kurangnya bergelar juara dalam saingan Liga Sepak Takraw musim ini.

Di samping itu, Ridhuwan turut berkongsikan taktikal yang akan dibawa Selangor Pistons nanti bagi menghadapi saingan GP Terengganu.

"Untuk taktikal Selangor nanti, kita akan turunkan terlebih dahulu pemain senior seperti Aizat Norazami kerana dia sebelum ini merupakan bekas pemain negara, jadi kita perlukan pengalaman dia untuk membantu pasukan.

"Selain Aizat, kita akan turunkan Arif Badri sebagai feeder dan import Thailand, Nonthanan Sombatlay menggalas tugas selaku killer.

"Bagaimanapun, seperti perlawanan sebelum ini, kita ada senjata utama pasukan iaitu Zuhri Zin bertindak selaku 'joker' dan Ariff Daniel Mohammad Aripin (killer) kerana kemasukan kedua-dua pemain ini banyak membantu mengubah rentak permainan.

"Selain itu, kita akan membuat pertukaran bagi posisi tekong dan killer terlebih dahulu sekiranya kita ketinggalan pada set pertama, kita tidak akan tunggu sampai habis set kerana poin adalah sangat penting," kongsinya.

Meskipun memberi kredit kepada Zuhri, jurulatih Selangor Pistons itu bagaimanapun tetap memberi pujian kepada tekong berpengalaman negara yang sentiasa cemerlang dalam setiap perlawanan diturunkan.

"Mungkin kalau penyokong perasaan, asal Zuhri masuk saja, nampaklah game akan berubah tapi tidak kurang hebat juga dengan Aizat kerana pengalaman, servis dan control ball dia memang baik," jelasnya.

Selangor Pistons

Selangor Pistons menamatkan GP Selangor Liga Sepak Takraw 2024 di tempat ketiga.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai keseluruhan bahagian yang perlu diperbaiki oleh Selangor Pistons, Ridhuwan yang juga bekas jurulatih negara itu mengatakan bahawa pasukannya itu kini berdepan beberapa kelemahan utama.

"Kita nampak kelemahan ketara adalah dari segi first ball, serangan dan pukulan kerana kita sendiri nampak kurang mantap.

"Kadang-kadang hantaran pun kena main peranan juga kerana killer tak dapat buat rejaman dengan baik kalau feeder tak setting bola betul-betul.

"Jadi, itu adalah antara satu bahagian yang kita kena perbaiki selain servis, pertahanan dan juga serangan," kongsinya.

Berkongsi mengenai sasaran untuk GP Terengganu, Ridhuwan mendedahkan bahawa dia meletak sasaran untuk sekurang-kurangnya bergelar juara dalam GP yang dipertandingkan di beberapa lokasi.

"Sasaran kita mestilah nak ke final dan sekurang-kurangnya bergelar juara. Insya-ALLAH GP Terengganu ni kita lebih mantap," katanya.

GP Terengganu akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, bermula 24 hingga 28 September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram