Tetap letak harapan di bahu tekong, coach Selangor Pistons anggap Syahir Rosdi antara 5 pemain beri ancaman


  • Podium
  • Rabu, 25 Sep 2024

Meskipun mengakui kelebihan yang ada pada KL Thunder namun Ridhuwan tetap menaruh harapan tinggi kepada anak-anak buahnya. — Facebook/STL

KEPUTUSAN undian Grand Prix (GP) Terengganu, Emas Anuar Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2024 menyaksikan beberapa pertembungan menarik dijangka berlaku.

Antara yang mencuri tumpuan sudah semestinya saingan Kumpulan B menempatkan juara GP Selangor, Kuala Lumpur Thunder yang diletakkan bersama-sama PDRM Defenders serta Negeri Sembilan Antlers.

Kumpulan D menampilkan naib juara serta pemenang tempat ketiga GP Selangor, Perak Bison dan Selangor Pistons selain KPT Masum Knight bakal memberi halangan untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Keberanian tukar tekong utama tuai hasil, Perak Bison mula langkah kanan

BACA LAGI: Pilih kelab lain tak bantu bintang Sang Kenari, Sabah FC lari dari isu gaji

WhatsApp Image 2024-09-24 at 21.53.40 (1)

Libasan tekong KL Thunder, Syahir Rosdi tuai pujian pengurus Perak Bison. — Facebook/STL

Menjelang sirkit kedua itu, tentunya semua pasukan sudah melakukan persiapan rapi dari segi fizikal dan mental untuk meraih keputusan berbeza di bumi Terengganu.

Selangor Pistons kini mencuri tumpuan apabila menjadi salah satu pasukan Divisyen 1 yang berjaya mencuri slot ke Liga Premier.

Dengan memiliki barisan skuad yang mantap dan menamatkan GP Selangor di tempat ketiga, pastinya Selangor tidak berdepan dengan kesukaran untuk bersaing dengan pasukan lain.

Jika melihat kelebihan di atas kertas, sudah pastinya Kuala Lumpur Thunder menjadi ancaman buat semua pasukan dalam saingan Liga Premier.

Kekuatan yang dimiliki KL Thunder turut diakui oleh jurulatih Selangor Pistons, Ridhuwan Abdul Manaf kerana dibarisi dengan pemain kebangsaan antaranya Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri).

Meskipun mengakui kelebihan yang ada pada KL Thunder namun Ridhuwan tetap menaruh harapan tinggi kepada anak-anak buahnya.

"Pasukan KL Thunder memberikan saingan yang hebat tapi saya percaya pada kemampuan pemain muda kami, yang telah menunjukkan prestasi baik," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-09-24 at 21.53.40

Rejaman Azlan Alias (tiga kiri) sering memberi mata kepada pasukannya. — Facebook/STL

Ridhuwan turut berkongsikan bahawa tekong yang kini paling digeruni ialah tekong kebangsaan, Syahir Rosdi.

"Kalau tekong, terdapat beberapa pemain yang bersaing hebat sekarang seperti Syahir Rosdi, Haziq Hairul Nizam untuk Negeri Sembilan Antlers, Meor Zulfikar Mat Amin bagi skuad Perak Bison, import Johor Tigris, Chayaphon Chanakon dan import PDRM Defenders, Siwatbancha Seekhwa," ujarnya.

Bukan itu sahaja, Ridhuwan turut mengakui kehebatan yang dipersembahkan oleh killer negara, Azlan Alias yang kini menabur bakti bersama KL Thunder.

Begitupun, selain Azlan, bekas jurulatih negara itu turut menyebut beberapa nama yang mempamerkan aksi cemerlang di posisi berkenaan.

"Azlan Alias juga antara killer yang harus diperhatikan. Selain Azlan, Noraizat Mohd Nordin dari Perak Bison antara yang hebat ketika ini.

"Killer ATM Guardians juga tidak kurang hebatnya, mungkin sebab masih sirkit pertama jadi masing-masing pasukan masih mencari rentak permainan.

"Dalam pertandingan ini, banyak pasukan mempunyai bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman, dan kami akan berusaha memberi yang terbaik," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram