Klinik STL bawa jaguh takraw negara gegar pelajar Orang Asli di Selangor


  • Podium
  • Rabu, 18 Sep 2024

Para pelajar menunjukkan kemahiran masing-masing dalam sukan sepak takraw.

SERAMAI 150 pelajar berketurunan Orang Asli Temuan telah menyertai Klinik Liga Sepak Takraw (STL) yang diadakan baru-baru ini di Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan, Selangor.

Klinik STL tersebut merupakan klinik kedua yang telah diadakan selepas program pertama berlangsung di Sekolah Kebangsaan TTDI 1, Kuala Lumpur pada bulan lalu melalui kerjasama bersama Klinik Penggalakan Sukan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sempena Hari Malaysia, Astro turut meraikan kepelbagaian dan kesaksamaan dalam kempen Inilah KITA dan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan pelajar menerusi Klinik STL yang diadakan.

BACA LAGI: : [VIDEO] STL 2024: Tiada libasan, rejaman dari juara bertahan Perak Bison, KL Thunder muncul juara GP Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] Akur kekuatan KL Thunder, Pengurus Perak Bison pantas mengesan kelemahan utama

Seramai 150 pelajar berketurunan Orang Asli Temuan telah menyertai Klinik Sepak Takraw League (Klinik STL)

Seramai 150 pelajar berketurunan Orang Asli Temuan telah menyertai Klinik Liga Sepak Takraw.

Selain itu, Klinik STL kali kedua itu diserikan dengan kehadiran pemain-pemain dari pasukan Selangor Pistons dan Bomba Fighters.

Kehadiran pemain dari pasukan Liga Premier itu sekali gus memberi peluang kepada semua golongan pelajar untuk mengenali dan mendekati idola mereka dengan lebih dekat serta mempelajari asas-asas sukan ini.

Dalam pada itu, Penolong Naib Presiden Kanan, ESG Astro, Jolyn Gasper berkata, Astro meneruskan komitmen dalam memperkasakan sukan tempatan dari peringkat akar umbi melalui Klinik STL dan objektif utama Klinik STL ini adalah untuk memupuk minat serta mencungkil bakat dalam kalangan murid-murid dalam bidang sukan terutama sukan sepak takraw.

"Bukan itu sahaja, program ini adalah untuk memberi peluang keemasan kepada mereka untuk beramah mesra bersama pemain-pemain profesional yang dibawa ke setiap Klinik yang diadakan," katanya.

Bomba Fighters dan Selangor Pistons memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar.

Pasukan Bomba Fighters (jersi putih) dan Selangor Pistons memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar.

Rentetan kejayaan program Astro Kem Badminton yang telah dianjurkan sejak 2012, Klinik STL ini juga merupakan inisiatif kelestarian Astro Kasih bersama Astro Arena dalam mengilap bakat baru serta melahirkan atlet berprestasi tinggi atau jaguh sukan di peringkat antarabangsa suatu hari nanti.

“Klinik STL yang telah memasuki musim kedua ini semakin meriah yang mana kita akan menjelajah ke sekolah terpilih seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu dan Perak.

"Bukan itu sahaja, dua lokasi Klinik STL iaitu di Pulau Pinang dan Johor akan dibuka kepada generasi muda yang berumur 13 tahun sehingga 17 tahun tidak kira lelaki atau wanita dapat menyertainya, nantikan perkembangan untuk menyertai Klinik STL ini nanti di laman Instagram rasmi STL," ujarnya.

Hos STL, Alice Harun turut memberikan tunjuk ajar kepada pelajar

Bekas tekong kebangsaan, Alice Harun (jersi ungu) turut memberikan tunjuk ajar kepada pelajar.

Jelasnya lagi, Astro juga turut berbesar hati dengan sokongan dana yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga sokongan penganjuran oleh pihak KPM yang akan memberikan pengiktirafan markah PAJSK berbentuk merit penglibatan dan penyertaan peringkat negeri kepada pelajar-pelajar yang menyertai program pembangunan bakat ini.

Demi memupuk semangat mereka untuk bersukan dan minat kepada sukan tradisi ini, Astro turut memberi tiket percuma kepada pelajar-pelajar yang terlibat dengan Klinik STL untuk menyaksikan kejohanan STL yang terunggul ini di setiap negeri.

Untuk maklumat lanjut, Klinik STL 2024 ini adalah cetusan program yang dianjurkan daripada Kejohanan STL, inisiatif bersama Astro dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang sudah memasuki satu dekad penganjurannya pada tahun ini.

Sementara itu, STL 2024 telah pun bermula pada 24 Ogos lalu sehingga 16 November 2024 dan menjelajah ke beberapa buah negeri iaitu Melaka, Selangor, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan juga Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram