GERAKAN Selamatkan Kelantan FC (GSK) kekal dengan pendirian menolak tawaran pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang berhasrat menjual pasukan Pantai Timur itu dengan nilai sebanyak RM3 juta.
Pengerusi GSK, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, mereka akan mengambil alih Kelantan FC hanya dengan bayaran RM1 sahaja.
Menurutnya, keputusan itu dibuat ekoran The Red Warrior (TRW) sendiri sedang menanggung bebanan dan hutang yang besar iaitu kurang daripada RM5 juta.
BACA LAGI: Kelantan Darul Naim FC sasar angin perubahan kedua
BACA LAGI: Muak sikap Zamsaham, pelabur TRW dilapor lancar Gerakan Selamatkan Kelantan
"Kelantan FC juga ketika ini tidak mempunyai apa-apa nilai dan aset disebabkan kelab tersebut tidak bermain di mana-mana liga.
"Mengenai tawaran Zamsaham (Norizam) menawarkan TRW Kelantan FC dengan harga RM1 dengan syarat pasukan berkenaan mestilah (berada pada kedudukan) Top 5 dalam masa lima tahun adalah tidak realistik.
"Ini kerana pasukan TRW akan menjadi pasukan yang baru dibina dan akan mengambil masa untuk mencari rentak serta persefahaman antara pemain," katanya.
Sehubungan itu, GSK menegaskan, pihaknya kekal dengan pendirian asal untuk mengambil alih TRW dengan nilai RM1 bersama tanggungan hutang.
Jelas beliau, para pelabur Kelantan FC secara keseluruhannya telah melabur lebih RM16 juta kepada pasukan berkenaan bermula 2020 sehingga 2023.
"GSK memohon kepada Zamsaham agar berjiwa besar menyerahkan TRW Kelantan FC kepada kami supaya kami dapat membina semula dan memulihkan kembali kelab ini," ujarnya.
Terdahulu, Kelantan FC tiada dalam kancah bola sepak Malaysia musim ini apabila kelab itu menarik diri dari saingan separuh profesional, Liga A1 selepas disingkir dari Liga Super kerana tidak mendapat lesen kebangsaan.
Norizam mengesahkan penarikan diri pasukan itu dari Liga A1 dan akan fokus menyelesaikan beberapa masalah termasuk kes di FIFA sebelum kembali menyertai liga bola sepak pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram