SITUASI Liga Malaysia kelihatan tidaklah seindah disangka. Satu demi satu kelab mula goyah dengan isu kewangan dan mereka berdepan potensi gulung tikar.
Menyeberangi Tambak Johor, jiran kita, Singapura berdepan situasi hampir serupa. Sehingga kini, saingan utama Singapura, Liga Perdana Singapura (S-League) sedang mencari pasukan ke-10 untuk melengkapkan saingan Kota Singa itu.
Presiden FA Singapura, Bernard Tan berkata, dia membuka penyertaan daripada kelab tempatan dan luar Singapura yang berminat untuk menjadi pasukan ke-10 S-League pada musim 2025/2026.
BACA LAGI: Peluang ke Liga Super tertutup, kelab M3 'merajuk' bawa diri ke Singapura?
BACA LAGI: ‘Buat menyemak saja’, fans negara jiran awal-awal pangkah kehadiran KL Rovers
"Sasarannya adalah ingin mengembangkan lagi liga dan menjadikan ia lebih menarik. Lebih banyak pasukan akan membuatkan liga lebih menarik.
"Mempunyai lebih ramai pasukan luar akan menetapkan tahap yang berbeza (terhadap liga) dan ia membenarkan S-League untuk berkembang," ujarnya.
Setakat ini di S-League, terdapat satu kelab dari luar Singapura iaitu Brunei DPMM. Jika ada kelab Malaysia yang berminat, terdapat beberapa nama berpotensi untuk bertanding merebut kejuaraan di Kota Singa:
Kedah Darul Aman FC
Satu nama yang dilihat boleh mencuba nasib membawa diri ke Singapura adalah Kedah Darul Aman.
Dengan masalah kewangan dihadapi mereka dan tekanan beraksi di Liga Malaysia, mungkin Kedah boleh membawa diri beraksi di S-League dengan struktur pertandingan lebih kecil.
Kedah boleh mencuba nasib di Singapura.
Akan tetapi, masalah kewangan yang dihadapi bersifat dalam dan sekiranya mereka benar mahu menyertainya, ia perlu diselesaikan sebelum menjadi lebih banyak isu.
Dari segi jarak, ia mungkin jauh untuk Sang Kenari kerap bertandang ke Kota Singa, tetapi jika itu boleh membuatkan mereka terus bersaing, apa salahnya?
Selangor FC
Satu nama yang tidak asing dengan bola sepak Singapura adalah Selangor. Sejak dulu, Gergasi Merah mempunyai permusuhan hebat bersama skuad kebangsaan negara tersebut.
Cuma, Selangor tidak pernah beraksi dalam Liga Singapura dan jika mereka ingin mengambil slot pasukan ke-10 itu, situasi tersebut akan berlaku.
Penyertaan Selangor boleh menghidupkan semula permusuhan dengan Singapura.
Pastinya, kehadiran Selangor akan dialu-alukan oleh Singapura kerana kemunculan musuh lama akan menghangatkan saingan S-League.
Ia juga memberikan peluang buat Selangor memburu kejuaraan di negara lain. Sekiranya berjaya 'menjajah' Singapura, satu rekod baharu boleh dicatatkan Gergasi Merah.
Kelantan FC
S-League boleh dijadikan platform untuk Kelantan bermula semula selepas semusim tidak bertanding mana-mana pertandingan di Malaysia baik Liga Super atau Liga A1.
Dengan menjadi pasukan ke-10 di S-League, The Red Warriors boleh mula membina langkah kecil untuk kembali beraksi sebelum berkira-kira ingin menyertai Liga Malaysia semula.
Kelantan boleh bermula semula di S-League.
Namun, sama seperti Kedah, pemiliknya iaitu Norizam Tukiman (Zamsaham) perlu menyelesaikan terlebih dahulu situasi kewangan kelab sebelum boleh membawa Kelantan kembali bertanding.
Jika sebelum ini, Kelantan sering menjadi seteru kuat Lions XII dalam Liga Malaysia, mungkin permusuhan itu boleh hadir semula dengan cara mereka beraksi di S-League pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram