LUMRAH bagi seorang pemain bola sepak untuk menceburi dunia kejurulatihan selepas menamatkan karier kerana ia adalah pilihan terbaik berbanding cuba mendalami bidang berbeza.
Namun, dalam arena bola sepak tanah air, pilihan itu juga bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan kurangnya kelab yang beraksi secara profesional di Liga Super.
Tetapi, sekiranya mereka bertegas untuk bergelar seorang jurulatih, penglibatan di peringkat akar umbi merupakan langkah terbaik dengan beberapa bekas bintang lokal membuktikan kejayaan masing-masing.
BACA LAGI: Tonggak Sang Penyu ucap selamat tinggal, rugi kalau Kedah, Penang dan Kelantan tak sambar
BACA LAGI: Saya mengaku gagal jadi pemilik Kelantan FC — Zamsaham

Rizal merupakan salah seorang pemain yang berada dalam skuad treble Kelantan FA.
Baru-baru ini, seorang lagi bekas pemain mengambil langkah sedemikian dengan pengalamannya sepanjang berada di atas padang tidak boleh dipandang remeh.
Dia merupakan Rizal Fahmi Ab Rosid yang dahulunya dikenali sebagai seorang bek tengah kental dengan Kelantan dan Selangor merupakan antara destinasi dipilih sepanjang kariernya.
Selepas tidak lagi beraksi di atas padang, dia yang kini berusia 38 tahun itu memilih untuk bergelar seorang jurulatih dengan memberikan penekanan terhadap pembangunan akar umbi.
Dalam satu poster yang dikongsikannya di Facebook, Rizal menyenaraikan kejayaan pernah dikecapi sepanjang bertahun-tahun beraksi dalam divisyen teratas tempatan.
Antara pencapaian terbaik pernah direkodkannya adalah ketika dia bersama skuad The Red Warriors (TRW) menjulang gelaran treble dengan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Malaysia pada 2013.
Selain itu, Rizal juga menyatakan pengalamannya sepanjang dua tahun terlibat dalam bidang kejurulatihan dengan kelab Liga M5, NBK Empire dan pasukan Air Selangor merupakan antara destinasinya.
Jadi, rekod-rekod berkenaan sudah tentu diharapkan dapat menarik lebih ramai 'ubi muda' yang bercita-cita besar dalam dunia bola sepak di sekitar kawasan Lembah Klang.
Dia juga menawarkan harga berpatutan buat mana-mana pemain yang berminat dengan mereka boleh memilih sama ada mahu menyertai kelas secara persendirian atau berkumpulan.
Peluang itu sudah tentu sukar ditolak mereka yang mahu menimba pengalaman bersama bekas pemain Liga Super, namun tidak berkemampuan untuk terlibat dalam kelas berbentuk profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
