Bekas jurulatih, pemain TRW sifatkan Gerakan Selamatkan Kelantan FC cara betul buat Zamsaham lepaskan kelab


  • Podium
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Pemilik Bersama TRW Kelantan FC Berhad, Nik Hafiz Naim (tengah) mahu menyelamatkan kelab Pantai Timur itu daripada terus hilang daripada peta bola sepak Malaysia.

POSISI Norizam Tukiman sebagai pemilik Kelantan FC berada dalam bahaya apabila sebahagian besar pelabur kelab berkenaan enggan menerimanya lagi sebagai individu yang mengepalai pasukan Pantai Timur tersebut.

Memetik info yang dikeluarkan oleh portal Harimau Malaya di laman Facebook, sebahagian pelabur berkenaan juga kini sedang membuat rancangan menubuhkan gerakan baharu sebagai alternatif menyelamatkan Kelantan daripada genggaman Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.

Gerakan yang diberi nama ‘Gerakan Selamatkan Kelantan FC‘ itu difahamkan diketuai oleh Pemilik Bersama dan Pengarah TRW Kelantan FC Berhad, Nik Hafiz Naim.

BACA LAGI: Tak berjaya 'trial' dengan Selangor FC, Kobe Jae Chong kini fokus karier baharu?

BACA LAGI: [VIDEO] Jaringan Brendan Gan imbau derita bersejarah Indonesia

Menurut bekas pemain Kelantan, Allee Putra Azril ‘Gerakan Selamatkan Kelantan FC‘ sesuatu yang baik untuk mengembalikan bola sepak di negeri itu kerana penyokong mahu melihat kembali pasukan tersebut gah dalam Liga Malaysia.

Namun Alle menyifatkan harga RM3 juta diletakkan pemilik semasa kepada bakal pengurusan baharu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

"Bagi saya perancangan kumpulan ‘Gerakan Selamatkan Kelantan FC‘ itu berada di jalan yang betul kerana TRW perlu diselamatkan.

"Semua penyokong dan bekas pemain nak Kelantan kembali gah dalam Liga Malaysia, untuk Zamsaham meletakkan harga RM3 juta saya rasa tak masuk akal.

"Sebab yang tinggal hanya masalah dan hutang, jadi saya harap dia lembut hati untuk lepaskan TRW.

"Sebelum ini, dia dah selamatkan TRW tapi sudah sampai masa untuk individu lain selamatkan maruah TRW," katanya kepada Majoriti.

Manakala bekas jurulatih Kelantan, Pol Corpas atau nama Islamnya, Abu Bakar berpendapat kehilangan Kelantan sesuatu yang tidak baik untuk Liga Malaysia.

Tambahnya lagi kumpulan ‘Gerakan Selamatkan Kelantan FC‘ itu sesuatu yang betul untuk dibuat supaya Zamsaham dapat melepaskan kelab tersebut.

"Saya rasa Zamsaham tidak bertindak dengan betul. Dia mempunyai peluang untuk menguruskan kelab tetapi tidak bertanggungjawab dalam peranannya.

"Di bahagian teknikal, bersama-sama dengan Rezal (Zambery), kami berjaya membawa Kelantan kembali ke Liga M walaupun menghadapi kesukaran dalaman dan pentadbiran.

"Hari ini, pengurusannya sudah menjadi sejarah, dan para pemegang saham yang ingin membawa Kelantan kembali ke pertandingan adalah tepat dalam mengambil langkah ini supaya Zamsaham dapat membebaskan kelab.

"Tidak baik untuk liga jika kelab-kelab hilang. Sangat menyedihkan apabila kelab bersejarah seperti Kelantan, dengan penyokong yang baik, menderita akibat ini.

"Terdapat individu dengan keluarga dan tanggungjawab, yang suatu masa dahulu adalah pekerja kelab dan berharap dapat menerima hutang yang sepatutnya menjadi milik mereka," jelasnya kepada Majoriti.

Musim ini Kelantan tidak menyertai mana-mana kejohanan liga di bawah anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas gagal melengkapkan penyertaan musim ini sekali gus terkeluar daripada peta bola sepak Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram