POSISI Norizam Tukiman sebagai pemilik Kelantan FC berada dalam bahaya apabila sebahagian besar pelabur kelab berkenaan enggan menerimanya lagi sebagai individu yang mengepalai pasukan Pantai Timur tersebut.
Memetik info yang dikeluarkan oleh portal Harimau Malaya di laman Facebook, sebahagian pelabur berkenaan juga kini sedang membuat rancangan menubuhkan gerakan baharu sebagai alternatif meneyelamatkan Kelantan daripada genggaman Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
Gerakan yang diberi nama ‘Gerakan Selamatkan Kelantan FC‘ itu difahamkan diketuai oleh Pemilik Bersama dan Pengarah bagi TRW Kelantan FC Berhad, Nik Hafiz Naim.
BACA LAGI: Kelantan Darul Naim FC sasar angin perubahan kedua
BACA LAGI: 'Anak emas buat gol sendiri' TFC curi 1 mata, seri melawan kelab Vietnam
“Info diterima dari sumber dalaman di kalangan pelabur, sebahagian besar pelabur TRW Kelantan FC yang tidak bersetuju dan menolak Zamsaham telah menubuhkan ‘Gerakan Selamatkan Kelantan FC (GSK)’ untuk mengembalikan TRW Kelantan FC.
“Gerakan Selamatkan Kelantan FC ini diketuai oleh Tuan Nik Hafiz, Co-Owner dan Pengarah TRW Kelantan FC. GSK telah menghubungi Zamsaham dan beberapa kali bersemuka dengan Zamsaham tetapi semuanya menemui jalan buntu setakat ini,” demikian dakwa hantaran berkenaan.
Hantaran tersebut juga mendedahkan bahawa ahli perniagaan berusia 43 tahun itu meletakkan tanda harga RM3 juta untuk kelab The Red Warriors (TRW), yang disifatkan sebagai nilai tidak masuk akal lagi-lagi selepas melihat keadaan semasa Kelantan FC.
Untuk rekod, pasukan yang dahulunya gah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) berkenaan tidak lagi beraksi pada mana-mana pertandingan di Malaysia susulan masalah kewangan dihadapi oleh mereka.
Pemilik Bersama TRW Kelantan FC Berhad, Nik Hafiz Naim (tengah) bersama Zamsaham (kiri). — Facebook/TRW
“Nilai tersebut dengan jelas tidak masuk akal memandangkan kelab ini tidak mempunyai aset dan nilai hutang yang ditanggung adalah sangat besar.
‘Menurut salah seorang dari pelabur tersebut, mereka mahu Zamsaham melepaskan kelab tersebut kerana dia sudah gagal dan pelaburan mereka sudah hangus. Mereka akan menanggung sendiri segala hutang dan semua kos untuk membangunkan semula Kelantan FC,” tambah info tersebut.
Daripada terus melihat Kelantan menyepi dari arena bola sepak tanah air, Norizam sepatutnya menerima hakikat sekiranya perlu menanggung kerugian jika terpaksa menjual Kelantan FC dengan harga murah berdasarkan masalah yang dihadapi TRW terutama kes tunggakan gaji.
Terdahulu, Kelantan FC tiada dalam kancah bola sepak Malaysia musim ini apabila kelab itu menarik diri dari saingan separuh profesional, Liga A1 selepas disingkir dari Liga Super kerana tidak mendapat lesen kebangsaan.
Norizam mengesahkan penarikan diri pasukan itu dari Liga A1 dan akan fokus menyelesaikan beberapa masalah termasuk kes di FIFA sebelum kembali menyertai liga bola sepak pada masa akan datang.
Majoriti kini cuba mendapatkan reaksi Zamsaham berhubung laporan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram